.jpg)
SETELAH negara diletakkan dalam keadaan darurat melalui proklamasi (titah) Yang di-Pertuan Agong, satu demi satu langkah memperkasakan tahap keselamatan, kesihatan dan ekonomi rakyat sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia, sama ada secara langsung atau tidak.
Hanya pihak pembangkang serta segelintir mereka yang terhasut sahaja yang cuba menimbulkan provokasi terhadap usaha pemulihan negara ini.
Ya kita masih berperang dengan Covid-19 dan ada rakyat kita yang masih belum pulih dari bencana banjir besar yang melanda di sesetengah negeri baru-baru ini.
Bagi mereka yang faham situasi global dunia kini, tiada satu pun negara yang sedang membangun atau yang menghampiri status negara maju yang tidak terkesan dengan impak dari wabak Covid-19 serta kemelesatan ekonomi dunia akibat darinya.
Tidak kira betapa bagus dan sempurnanya kerajaan sesuatu negara itu, masalah manusia akan tetap menjadi cabaran.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada tongkat sakti atau kuasa magis untuk memulihkan situasi semua pihak dalam sekelip mata.
Tidak semua orang dalam negara ini mampu dipuaskan hati mereka. Namun tekad kepimpinan negara untuk terus berfikir, berusaha dan mencari jalan bagi mensejahterakan rakyat tidak pernah padam.
Dari Istana Negara hingga ke Jemaah Menteri dan seterusnya sampai ke para penjawat awam serta anggota penguatkuasa, semua pihak sedang bertungkus lumus mahu pulihkan kembali kestabilan sosio-ekonomi negara kita.
Rakyat kita yang rajin, terutama dalam bidang kurier, kesihatan, pembuatan, utiliti dan para sukarelawan NGO-NGO wajar terus dihargai.
Segala keluh kesah rakyat, terus didengari oleh pimpinan tertinggi kerajaan termasuklah surat terbuka dari 46 orang pakar-pakar kesihatan yang memberi cadangan kepada kerajaan.
Respon langsung daripada perdana menteri terhadap surat itu ialah dengan mempelawa wakil-wakil pakar terbabit untuk menyertai kumpulan penasihat kesihatan dan sains bagi mempermantapkan lagi kerjasama antara golongan profesional dengan pihak pemerintah.
Malah luahan hati seorang doktor muda di Hospital Sungai Buloh juga turut mendapat perhatian Muhyiddin Yassin apabila Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk membuat pengagihan tambahan kakitangan bertugas bagi memastikan keperluan sumber manusia mencukupi di hospital tersebut agar beban petugas kesihatan yang sedia ada dapat diringankan sedikit.
Pengumuman Pakej Bantuan Khas (Permai) 2021 oleh perdana menteri merupakan kesinambungan bantuan demi bantuan yang terus dihulurkan oleh kerajaan Persekutuan dengan satu sasaran khusus, bagi meringankan beban ekonomi golongan rakyat bawahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan demi mengekang penularan Covid-19 dari terus membunuh rakyat.
Ternyata antara punca utama penyebaran wabak tersebut adalah dari kelompok warga asing sama ada yang mencerobohi negara ini secara haram atau yang sedia ada.
Kebanjiran warga asing yang menghantui negara berdekad-dekad lalu kini sedang dibanteras dengan tegas.
Antara yang mampu membantu kerajaan dalam hal ini ialah penggunaan teknologi terkini yang melibatkan Data Raya (Big Data), kepintaran buatan (A.I), pemantauan CCTV menyeluruh dan sistem kawalan sempadan bersepadu canggih.
Penggunaan teknologi yang berkaitan pemantauan juga mampu mengurangkan korupsi terutama dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan, pelaksanaan dan pembuat dasar yang menguruskan hal-ehwal kritikal seperti warga asing, keselamatan, dan kesihatan.
Apabila tahap integriti negara berada dalam keadan positif, secara tidak langsung ia dapat menarik lagi ramai pelabur-pelabur asing serta pemain-pemain industri luar negara untuk bertapak di negara ini lantas memberi lebih banyak peluang rezeki kepada rakyat tempatan, insyaAllah. – 19 Januari, 2021.
* Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen