PAKEJ rangsangan terbaru Putrajaya merupakan kitar semula dari apa yang ditawarkan dalam Belanjawan 2021 dan tidak ada apa yang baru untuk rakyat Malaysia, kata Lim Guan Eng.
Dalam satu kenyataan media, bekas menteri kewangan itu berkata bahawa pakej bantuan hanya dikitar semula dari Belanjawan 2021 dan jauh dari pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion yang diperdebatkan oleh pembangkang untuk mengatasi kemelesetan ekonomi semasa bagi menyelamatkan pekerjaan serta perniagaan.
“Tidak ada suntikan tunai baru untuk ekonomi, Muhyiddin mesti tidak tahu atau diberi nasihat salah jika dia menjangkakan kesan PKP 2.0 akan kurang menjejaskan ekonomi berbanding PKP 1.0 yang dikenakan pada 18 Mac 2020 dengan alasan bahawa banyak perniagaan kini dibenarkan beroperasi.
“Selepas PKP 1.0, pertumbuhan KDNK jatuh negatif 17.1% pada suku kedua 2020. Sekiranya ekonomi jatuh 2% pada suku pertama atau kedua tahun ini, ia tidak bagus untuk ekonomi Malaysia apabila secara relatifnya, pertumbuhan ekonomi yang kuat juga dijangka pada tahun ini,” katanya.
Semalam Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kelima berjumlah RM15 bilion selepas sebahagian besar negara diletakkan di bawah PKP memasuki minggu kedua.
Beliau berkata ada 22 inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi untuk memerangi wabak Covid-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan.
Lim berkata tanpa suntikan fiskal baharu ke dalam pakej rangsangan ekonomi di bawah Permai, terdapat sedikit kesan terhadap pertumbuhan ekonomi yang dapat mengangkat ekonomi keluar dari kemelesetan. – 19 Januari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen