Ekonomi gig, remaja dan impaknya



Tahun 2020 telah melabuhkan tirai ketika artikel ini sedang di tulis. Pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu di tempuhi dalam menjalani kehidupan untuk hari-hari yang mendatang.

Hal ini termasuk dengan ramai menderita akibat kehilangan pekerjaan dan terpaksa mencari alternatif lain dalam memperolehi sumber pendapatan.

Hasilnya, ramai masyarakat hari ini terlibat secara langsung dan secara tidak langsung dengan ekonomi gig dan ekonomi tidak formal.

Sebelum artikel ini membincangkan lebih lanjut tentang perkaitan dua ekonomi ini dengan masyarakat di Malaysia, lebih baik sekiranya penerang diberi terhadap ekonomi gig dan juga ekonomi tidak formal.

Ekonomi gig jika merujuk kepada penjelasan diberi oleh Boidurjo Rick Mukhodaphyay dan Bibhas K Mukhodaphyay adalah satu bentuk perkongsian ekonomi.

Manakala jika menurut Gobinda Roy dan Avinash K Shrivastava pula ekonomi gig ini merupakan satu pasaran yang berlandaskan kontrak dengan terma yang tetap atau satu bayaran yang di bayar mengikut projek dari sesebuah syarikat, pihak ketiga arau pasaran atas talian.

Umumnya, ramai mengetahui yang ekonomi gig ini melibatkan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan menghantar makanan dan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan e-hailing.

Namun, dengan kemajuan digital dan seiring Malaysia melangkah dalam fasa revolusi industri 4.0, telah muncul pelbagai lagi pekerjaan baru yang kebanyakan bermula dari media sosial. Pekerjaan ini termasuk pekerjaan seperti “game streamer”.

Pekerjaan ini kebanyakannya memerlukan seseorang itu untuk menyiarkan diri mereka secara siaran langsung ketika mereka bermain. Mereka ini akan menggunakan saluran seperti Twitch, Facebook dan Youtube untuk menyiarkan diri mereka ketika bermain.

Mereka ini kebanyakannya akan dibayar melalui jumlah bintang yang mereka dapat, malahan ada yang mempunyai kumpulan tertentu yang berfungsi seperti sebuah syarikat.

Mereka ini akan mengambil permain yang dilihat berpontensi, seterusnya meminta mereka untuk membuat siaran langsung secara berkala. Seterusnya, upah akan diberi melalui usaha pemain ini.

Hal ini secara tidak langsung menarik minat remaja untuk turut serta dalam melibatkan diri dalam pekerjaan ini, kerana mereka melihat pekerjaan ini sangat mudah selain seronok kerana dapat menghabiskan masa pada perkara yang mereka minati.

Jika dilihat secara umumnya remaja-remaja ini kebanyakannya yang masih di bangku sekolah lagi. Perkara ini sangat membimbangkan ketika negara masih dalam situasi pandemik yang seperti tiada noktahnya.

Hal ini disebabkan melalui permainan video ini. Kebanyakan mereka mula ketagih sehingga menyebabkan ramai di kalangan mereka mula berjaga sehingga lewat malam dan juga mendedahkan diri di hadapan peranti lebih dari keperluan.

Kesannya, ramai di antara mereka mula terdedah dengan masalah obesiti, masalah penglihatan, gangguan tidur dan juga ada sebahagian kecilnya yang mendapat tekanan perasaan.

Di samping itu, permainan video ini juga membuatkan mereka gagal menghadiri sesi persekolahan pada pagi hari, dan jika mereka hadir sekalipun, kebanyakan mereka mula hilang tumpuan.

Malahan, kesan yang lebih teruk menyebabkan mereka kelesuan, murung dan mula menghabiskan masa untuk tidur di dalam kelas berbanding meluangkan waktu untuk belajar.

Bukan itu sahaja, pada usia sebegini, ketika rata-rata sahabat mereka masih lagi fokus dalam pelajaran, mereka pula sibuk menghabiskan masa dengan menambah pandapatan, lantas mula hilang minat dalam mencari ilmu.

Malahan, ada yang menggunakan pendapatan dengan melakukan perkara yang salah. Contohnya, membeli vape dan rokok. Ini secara langsung merosakkan tubuh dan memusnahkan masa depan mereka yang cerah.

Oleh itu, kerjasama dari pihak berwajib dan keluarga amat perlu dalam mencegah perkara ini sebelum terlambat.

Jika di lihat dari konteks umum, tidak salah untuk berhibur namun, pantauan yang lebih ketat juga perlu kerana impaknya sangat tinggi untuk dinilai jika di biarkan tanpa tindakan sewajarnya. Semoga kita sebagai rakyat Malaysia terus kuat dalam menghadapi ujian ini.

* Muhamad Nazmi Azim Sulaiman adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen