Pembangkang cabar pengisytiharan darurat minggu ini, kata wakil rakyat PKR


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata PH akan memfailkan tuntutan untuk mencabar tindakan Putrajaya mengisytiharkan darurat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) akan memfailkan tuntutan untuk mencabar tindakan Putrajaya mengisytiharkan darurat minggu ini, kata Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Wakil rakyat daripada PKR itu berkata beberapa perkara berhubung proklamasi darurat itu perlu dikaji dan beliau akan bertemu dengan peguam sebelum memulakan proses undang-undang.

“Saya ada berjumpa peguam minggu lalu dan semua orang sudah diberikan tugas.

“Kita akan bertemu lagi (minggu ini) untuk melihat perkembangannya. Ada beberapa isu yang perlu dilihat.

“Kami sedang mengusahakannya tetapi sasarannya (untuk menghantar permohonan itu) minggu ini dan kami berharap semuanya siap dan bersedia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan darurat, kurang 24 jam selepas pengumuman penguatkusaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua di beberapa negeri.

Muhyiddin pada masa itu berkata pengisytiharan darurat itu bukan rampasan kuasa, walaupun Parlimen, perlembagaan persekutuan dan pilihan raya akan digantung.

Beliau berkata langkah itu akan memberikan kerajaan lebih kuasa untuk mengawal pandemik Covi-19.

Pada Ahad, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pembangkang bercadang untuk mencabar proklamasi darurat itu di mahkamah.

Ketua pembangkang itu berkata beliau terdahulu mengumumkan niatnya untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertahankan perlembagaan persekutuan dan rakyat daripada salah guna kuasa kerajaan.

Pada Ahad, beberapa ahli Parlimen memberitahu The Malaysian Insight wakil rakyat PH dan Pejuang bercadang untuk merayu Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

Minggu lalu, Anwar berkata beliau sudah menghantar memo kepada semua wakil rakyat untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong menarik balik perintah darurat, dan mendesak Parlimen mula bersidang secepat mungkin.

Anwar berkata tindakan darurat oleh Muhyiddin tidak sah dengan pengurangan jumlah sokongan ahli Parlimen terhadap kerajaan PN.

Bagaimanapun, katanya ahli Parlimen tidak membantah langkah wajar yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19.

Anwar berkata peruntukan sedia ada mencukupi untuk membendung penularan Covid-19, termasuk penguatkuasaan PKP dan PKP bersyarat. – 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen