Pakar beri amaran kelesuan akibat tugas dalam talian meningkat


Hailey Chung Wee Kye

MMHA terima banyak laporan individu alami kelesuan kerana terpaksa menghabiskan lebih banyak masa atas talian sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

LEBIH ramai orang dijangka akan mengalami kelesuan dan tekanan akibat norma baharu bekerja dan belajar dari rumah semasa pandemik Covid-19, kata pakar kesihatan mental.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Dr Andrew Mohanraj berkata persatuannya menerima banyak laporan dari individu yang mengadu mereka letih kerana terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer atau peranti digital lain sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pekerja mengadu mereka diminta menjawab e-mel di luar waktu bekerja semasa PKP.

“Begitu juga dengan pelajar, mereka mengadu mereka dibebani tugas dalam talian tanpa bimbingan yang betul dari pengajar,” kata Dr Andrew.

Katanya, kelesuan akibat bebanan kerja menyebabkan ramai individu mengadu mengalami kesukaran untuk tidur, gelisah, murung, lebih banyak merokok dan mengambil minuman berkafein.

“Ada juga beberapa kes di mana pesakit begitu tertekan sehingga terfikir mahu membunuh diri.”

Kee Joey, pengasas Ripple Communitiy, iaitu platform kesihatan mental dan kesejahteraan dalam talian, berkata seseorang akan mengalami kelesuan apabila bekerja atas talian melebihi had.

“Dari sudut psikologi, bekerja atas talian juga satu amaran bahawa seseorang akan hilang kebebasan akibat wabak Covid-19.”

Persidangan video juga membawa kepada tekanan, misalnya seseorang perlu menumpukan perhatian sepanjang masa, kata Kee.

“Sebarang gangguan kelancaran sidang akan mengganggu tumpuan dan menyebabkan orang bosan.”

Tambahnya, tidak semua orang selesa berada di hadapan kamera sepanjang masa semasa sidang video.

Keperluan pelajar

Profesor Madya Dr Tan Chee Seng dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) berkata sejak pandemik melanda negara sekurang-kurangnya dua semester pelajar terpaksa menjalani pembelajaran dalam talian.

“Dari maklum balas yang kami terima, kelas dalam talian dijalankan hampir setiap hari mulai 9 pagi hingga 6 petang. Ada juga kelas malam dari 6 petang hingga 9 malam,” katanya.

Tan mencadangkan semua universiti lebih memberi tumpuan kepada bagaimana untuk memenuhi keperluan pelajar.

“Bantu pelajar membiasakan diri dengan kemudahan dan persekitaran baharu terlebih dahulu. Pensyarah yang terlepas pandang isu ini akan berdepan cabaran apabila mengajar pelajar mereka.”

Beliau turut menyarankan supaya lebih banyak aktiviti luar talian dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran.

“Kaji semula sukatan pelajaran supaya pelajar tidak dibebani terlalu banyak maklumat, terutamanya sepanjang kelas dalam talian.

“Beri mereka tugasan yang tidak membabitkan internet atau peranti,” jelas Tan.

Selain itu, terdapat juga pelajar yang mengalami kesukaran mengikuti kelas dalam talian kerana tiada peranti bersesuaian dan masalah capaian internet.

“Ibu bapa selalunya ingat kelas dalam talian ini santai.

“Anak boleh kongsikan jadual mereka dengan ibu bapa, supaya mereka tidak diganggu semasa kelas berlangsung.” – 20 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen