-2.jpg)
“MACAU scam” atau penipuan siber merupakan sindiket yang didalangi warga tempatan dan warga asing yang cuba untuk menipu mangsa dengan membuat panggilan palsu dan mendakwa mereka dari sesebuah institusi kewangan ataupun pihak berkuasa.
Sejak kebelakangan ini, Malaysia digemparkan dengan berita berkaitan dengan isu scammer ini. Perkara ini menjadi bualan hangat netizen dan mendapat perhatian pihak media.
Pada 19 Disember, 2020, media digemparkan dengan satu kes seorang warga emas mengalami kerugian hampir RM1.8 juta dipercayai kerana terpedaya dengan sindiket ini.
Bukan itu saja, kes penipuan ini turut membabitkan golongan berpengaruh.
Perkara ini dilihat mendapat liputan media hampir setiap hari. Masyarakat membuat spekulasi apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan tindakan menjalankan siasatan seperti pembekuan akaun bank serta menyita aset individu terlibat.
Sindiket ini merupakan penganiayaan terhadap mangsa melibatkan jumlah wang yang banyak.
Dalam sindiket ini, pihak berkuasa mengenal pasti beberapa modus operandi yang dijalankan untuk memperdaya mangsa.
Antaranya ialah cabutan bertuah, “spoofing” atau menyamar menjadi anggota pihak berkuasa seperti polis, pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit) dan menipu mereka melakukan penculikan sekali gus meminta wang tebusan.
Akibat tekanan dan ugutan yang diberikan, mangsa dengan mudahnya menuruti kehendak penipu siber ini dengan memberikan segala maklumat diri yang sulit. Sindiket ini mensasarkan mangsa yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pekerjaan.
Oleh itu, pelbagai inisiatif dilakukan pihak berkuasa iaitu dengan menyediakan platform semakan nombor telefon dan nombor akaun bank scammer di laman http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
Selain itu, semakan untuk nombor- ini juga boleh dilakukan dengan menghubungi talian maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) 013-2111222 dan melalui laman Facebook Cyber Crime Alert RMT.
Langkah ini dapat memberi kemudahan kepada rakyat untuk memeriksa maklumat scammer sebelum melakukan transaksi.
Sesiapa saja boleh menjadi mangsa sindiket ini. Perkara ini seharusnya menyedarkan kita untuk lebih berhati-hati dengan tidak memberi sebarang maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali dan tidak ada kesahihannya. – 19 Januari, 2021.
*Athira Farahiyah Saharudin ialah pembaca The Malaysian Insight.
Komen