Siapa diktator, Muhyiddin atau Dr Mahathir?


DR Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendakwa Muhyiddin Yassin seorang diktator kerana kononnya demokrasi tidak lagi wujud dan rakyat tidak lagi boleh bersuara setelah proklamasi darurat memberi beliau kuasa penuh untuk melakukan apa saja.

Diktator adalah pemerintah yang akan memastikan semua kuasa berada dalam tangan beliau, memastikan cabang pemerintahan lain tidak berani melawan kehendak beliau dan memastikan rakyat membisu dengan membuat segala macam peraturan bagi mengawal mereka.

Apa sangatlah yang Muhyiddin lakukan mengenai proklamasi darurat baru-baru ini berbanding apa yang selama ini Dr Mahathir lakukan mengenainya sepanjang beliau menjadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri selama ini?

Amat ramai tokoh perundangan ternama, termasuk sarjana dalam bidang perlembagaan seperti Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz dan Prof Madya Dr Wan Fauzi Wan Husain yang menyatakan ia dibuat mengikut prosedur.

Begitu juga dengan mantan hakim Mahkamah Persekutuan dan/atau mantan peguam negara seperti Mohamed Apandi Ali, Abu Talib Othman dan Gopal Sri Ram yang rata-rata bersetuju ia dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak ada sebarang pemusatan kuasa ke atas perdana menteri berlaku kerana Seksyen 11(a) dan Seksyen 11(b) Ordinan Darurat menyebut bahawa, selain perdana menteri dan ketua menteri, jemaah menteri dan Kabinet negeri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif.

Begitu juga dengan kedudukan badan kehakiman yang dijamin akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan, malah diikuti dengan penegasan kerajaan akan terus mempertahankan kebebasannya dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

Diktatorkah namanya bila proklamasi darurat hanya dijanjikan untuk berkuat kuasa mulai 11 Januari, 2021 hingga 1 Ogos, 2021 saja tatkala Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memberikan kuasa untuk kerajaan menguatkuasakannya secara tidak bertempoh (indefinitely)?

Diktator manakah yang sanggup menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut merangkumi wakil parti pembangkang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong jika ada keperluan untuk menamatkan proklamasi darurat lebih awal dari tarikh yang ditetapkan? 

Diktator manakah yang berani memberikan komitmen yang tegas bahawa pilihan raya umum akan diadakan sebaik saja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan wabak Covid-19 reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan?

Malah, jelas sekali tiada unsur politik yang wujud di dalam Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, di mana kesemua butirannya bertujuan membolehkan pengawalan wabak Covid-19 dibuat dengan lebih berkesan.

Tidak ada pun sekatan dan kawalan ke atas kebebasan asasi rakyat, termasuk kebebasan bersuara dan berpolitik, di mana tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat umpamanya hanyalah di dalam konteks untuk memerangi wabak Covid-19.

Perlu diingat Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat jemaah menteri supaya mengisytiharkan proklamasi darurat bila ia pertama kali disembahmaklum pada 25 Oktober, 2020 kerana baginda berpendapat tiada keperluan buat masa itu untuk mengisytiharkannya.

Duluan mengikat dalam isu pengisytiharan proklamasi darurat, iaitu penghakiman di dalam kes Teh Cheng Poh v PP [1979] 1 MLJ 50, adalah bahawa pendapat atau kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong adalah merujuk kepada pendapat atau kepuasan hati jemaah menteri.

Diktatorkah namanya pemimpin yang akur tidak melawan bila keputusan jemaah menteri beliau tidak diikuti walaupun penolakan itu ditanggapi oleh pakar-pakar perundangan tidak selari dengan peruntukan perlembagaan dan tafsiran mahkamah ke atas peruntukan itu?

Bandingkanlah tindakan Muhyiddin dengan tindakan Dr Mahathir yang memusatkan pelbagai jenis kuasa yang ada ke dalam tangan beliau, termasuklah kuasa yang asalnya adalah dipunyai oleh Yang di-Pertuan Agong dan/atau oleh Raja-Raja Melayu.

Lupakah kita pada 1 Ogos, 1983 Dr Mahathir membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) di Dewan Rakyat bagi memindahkan kuasa mengisytiharkan proklamasi darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada beliau sebagai perdana menteri?

Tahukah generasi baharu Malaysia pemindahan kuasa mengisytiharkan proklamasi darurat ini diluluskan oleh Parlimen dan dikuatkuasakan melalui Akta A566 pada 16 Disember, 1983 sebelum ditarik balik semula melalui Akta 584 pada 20 Januari, 1984?

Lupakah kita Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) pada 1 Ogos, 1983 ini juga menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan memperuntukkan baginda hendaklah disifatkan memperkenankan rang undang-undang selepas tempoh 15 hari?

Lupakah juga kita pada 18 Januari, 1993 Dr Mahathir membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) bagi menghapuskan kekebalan Raja-Raja dan bagi membenar semula wakil rakyat menegur dan mengkritik Raja-Raja dalam perbahasan mereka?

Begitulah juga dengan pelbagai tindakan Dr Mahathir untuk memastikan cabang pemerintahan lain tidak berani melawan kehendak beliau, khususnya cabang kehakiman, yang terpateri melalui pemecatan Salleh Abas sebagai ketua hakim negara pada 8 Ogos, 1988.

Tahukah anak-anak muda sekarang pada 17 Mac, 1988 Dr Mahathir membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) yang “menghapuskan peruntukan tentang meletakhak kuasa-kuasa kehakiman pada mahkamah-mahkamah”?

Masih boleh jelas dibaca teks ucapan Dr Mahathir pada hari itu yang menyebut tujuan utama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) itu dibuat adalah bagi memastikan bidang tugas kuasa eksekutif tidak dapat “disentuh” atau “diganggu” oleh cabang kehakiman.

Begitulah juga dengan pelbagai pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dan ke atas pelbagai undang-undang yang dibentangkan Dr Mahathir bagi memastikan cabang kehakiman tidak mempunyai kuasa untuk menyemak tindakan pihak eksekutif.

Tahukah rakyat Malaysia insan sebenar yang menyebabkan sekarang ini proklamasi darurat tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah adalah Dr Mahathir yang membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) tersebut pada 9 April, 1981?

Ia diikuti oleh tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) pada 3 Disember, 1987 yang menghalang keputusan menteri menolak permohonan, membatal atau menggantung lesen atau permit daripada dicabar di mahkamah.

Seterusnya ialah tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri (Pindaan) pada 23 Jun, 1989 bagi menghalang perintah tahanan yang dibuat menteri daripada dipersoalkan di mahkamah ekoran beberapa cabaran ke atasnya sebelum itu.

Tidak lupa juga Rang Undang-Undang Pertubuhan (Pindaan) pada 13 Disember, 1989 yang menghalang apa-apa pertikaian politik daripada dibawa dan dibicarakan di mahkamah, kerana mahkamah kononnya mempunyai banyak kes lain, yang dibentangkan sendiri oleh beliau.

Sejak beliau menjadi menteri pelajaran lagi, tetapi khususnya setelah beliau menjadi perdana menteri, Dr Mahathir juga terkenal dengan pelbagai tindakan yang beliau buat untuk menutup mulut rakyat dengan membuat segala macam peraturan bagi mengawal mereka.

Terulung selaku menteri pelajaran beliau membentangkan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) pada 8 April, 1975 yang melarang pelajar universiti menjadi ahli atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada parti politik atau kesatuan sekerja.

Beliaulah juga insan yang membentangkan Rang Undang-Undang Rahsia Rasmi (Pindaan) pada 5 Disember, 1986 bagi memberi kuasa kepada menteri untuk menambah perkara “rahsia” dan meninggikan hukuman ke atas pesalah menjadi penjara minima satu tahun.

Beliaulah juga yang membentangkan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) pada 3 Disember, 1987 bagi memberi kuasa kepada menteri untuk melulus, membatal atau menggantung sesuatu lesen atau permit, sekali gus mengekang kebebasan bersuara.

Begitulah seterusnya tindakan beliau membentangkan Rang Undang-Undang Polis (Pindaan) pada 4 Disember, 1987 yang menyekat teruk kebebasan rakyat untuk berhimpun, berjumpa dan berarak dengan cara mengetatkan peraturan, syarat dan hukuman ke atas penganjurannya.

Begitulah fakta kukuh menunjukkan pemerintah yang jelas diakui sebagai diktator, baik oleh rakan-rakan apatah lagi lawan beliau, masyarakat sivil, rakyat jelata, malah cendekiawan melalui tesis dan tulisan mereka adalah Dr Mahathir.

Terlalu banyak rekod mantan rakan sejawatan Dr Mahathir seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Rais Yatim dan Anwar Ibrahim memanggil beliau dengan gelaran diktator, buku “Frankly Speaking” Musa Hitam salah satu daripadanya.

Sewaktu berada dalam satu pakatan yang sama sekalipun, pemimpin Pakatan Harapan seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, masih berkali-kali merujukkan kepada Dr Mahathir sebagai seorang diktator.

Malah, selewat 27 Februari, 2020 sekalipun Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, masih lagi menulis: “Tun Dr Mahathir wants a mandate for himself on a personal capacity, no ties, no commitments to anyone. Full and total authority. How can we agree to a dictatorship?”

Begitulah juga dengan sentimen umum masyarakat sivil yang tertera di dalam buku “Abuse Of Power” Tommy Thomas, mantan peguam negara pilihan beliau sendiri, yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai “a very authoritarian leader who did not brook dissent”.

Oleh itu, sukalah saya berpesan kepada Dr Mahathir, sebelum kamu secara semberono mahu menuduh orang lain sebagai diktator, semaklah balik segala tindakan yang kamu lakukan dulu, kerana walaupun kamu mungkin lupa rakyat tidak lupa dan rekod tetap ada. – 19 Januari, 2021.

* Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff ialah pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen