Mahkamah tiada bidang kuasa dengar permohonan cabar proklamasi darurat


Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata permohonan cabaran sepatutnya ditumpukan kepada 'nasihat' perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

MAHKAMAH tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan bagi mencabar proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, kata peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 150 (8)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150(8)(b) memperuntukkan bahawa “tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi darurat.”

Haniff Khatri berkata permohonan cabaran itu sepatutnya ditumpukan kepada “nasihat” perdana menteri dan bukan terhadap proklamasi darurat.

“Bagi saya, secara jujur, peruntukan sedemikian (Perkara 150 (8)) akan menjadikan permohonan itu amat sukar dilayan oleh mahkamah, meskipun jika anda mencabar nasihat yang diberikan (perdana menteri), kerana mahkamah akan memutuskan bahawa jika kami mendengar permohonan ini, secara tidak langsung kami melayan permohonan bagi mencabar Proklamasi Darurat.

“Situasi mengenai perkara ini tidak jelas kerana belum terdapat kes dari segi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata proklamasi itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati, oleh itu tidak ada alasan yang membenarkan sebarang permohonan dibuat kepada mahkamah berhubung kesahannya.

“Sesetengah peguam mungkin berhujah bahawa terdapat niat tidak baik, saya tidak rasa ini adalah alasan yang kukuh kerana peruntukan (perlembagaan) menyebut bahawa apa pun sebabnya, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan proklamasi darurat,” katanya.

Pada 12 Januarilepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat yang akan dikuat kuasa sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di Malaysia. – Bernama, 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen