Lapangan Terbang Changi henti umum panggilan akhir bermula 2018


Lapangan Terbang Changi, Singapura akan melaksanakan konsep 'lapangan terbang senyap' bagi mengurangkan kadar kebisingan di sana agar perjalanan operasi lebih efisien. – Gambar fail EPA, 27 Disember, 2017.

LAPANGAN Terbang Changi, Singapura tidak akan lagi membuat pengumuman pelepasan akhir mulai 1 Januari 2018 bagi mewujudkan persekitaran kurang bising dan mengurangkan gangguan kepada operasinya, menurut laman sesawang lapangan terbang itu.

Menurut laporan The Straits Times, hanya pengumuman penting akan dibuat, termasuk berkaitan kecemasan, “hilang dan jumpa” bagi kanak-kanak dan pasport, kelewatan penerbangan, dan perubahan pintu masuk.

Pada masa ini, setiap terminal Lapangan Terbang Changi menyaksikan purata satu pengumuman dibuat bagi setiap kira-kira lima minit, kata jurucakapnya, Ivan Tan.

“Dengan lebih banyak penerbangan dan penumpang, mengekalkan kekerapan pengumuman seperti sekarang akan menjadikan terminal lebih bising dan banyak gangguan pada masa yang akan datang. Satu kebimbangan ialah penumpang mungkin kurang memberi perhatian terhadap pengumuman yang dibuat melalui sistem makluman awam, yang mengenepikan pengumuman lebih kritikal,” kata Tan dipetik.

Walaupun banyak lapangan terbang antarabangsa yang lain mula mengamalkan trend “lapangan terbang senyap” , ia akan memberi kesan kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi dari Lapangan Terbang Changi dan penumpang mereka,” katanya.

Lapangan terbang lain yang menggunakan pendekatan serupa termasuk lapangan terbang antarabangsa Hong Kong dan Brussels.

Untuk mempersiapkan perubahan, itu pihak lapangan terbang telah meminta semua syarikat penerbangan menekankan kepentingan ketepatan masa menaiki pesawat kepada para penumpang semasa mereka mendaftar masuk dan menasihati agar berada di pintu masuk tepat pada waktunya.

Dalam kaji selidik Skytrax baru-baru ini, Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang terbaik dunia bagi tahun kelima berturut-turut. – 27 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen