KERAJAAN membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapatkan jaminan Skim Jaminan Prihatin Danajamin (SJPD) dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang-kurangnya 75 peratus.
Di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan mengumumkan SJPD berjumlah RM50 bilion untuk menyokong pertumbuhan sektor swasta dan meningkatkan ekonomi negara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman terbaharu berkata sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan kerajaan akan meningkatkan pembiayaan maksimum daripada RM500 juta kepada RM1 bilion.
Beliau berkata ini melibatkan perluasan skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun dan membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang-kurangnya 75 peratus.
Kerajaan berharap agar penambahbaikan SJPD ini akan dapat menjana pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan, kata Muhyiddin semasa pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion, di sini, hari ini.
Secara umumnya, pakej bantuan Permai menambah baik inisiatif yang sedang dilaksanakan sekarang dan juga mempercepat pelaksanaan inisiatif berkaitan.
Sejumlah 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai. – Bernama, 18 Januari, 2021.
Komen