Tambahan RM15 bilion untuk tangani kesan Covid-19, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan RM15 bilion dalam pakej bantuan untuk menangani kesan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

SEBANYAK RM15 bilion lagi ditambah dalam pakej bantuan untuk menangani kesan pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bantuan dalam Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (Permai) itu antara lain meliputi tambahan RM1 bilion bagi menangani pandemik, termasuk RM800 juta bagi Kementerian Kesihatan.

Dana selebihnya dari jumlah RM1 bilion itu akan disalur kepada Majlis Keselamatan Nasional dan agensi lain yang terlibat, katanya dalam ucapan yang disiar langsung.

“Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan,” katanya.

Selain itu, seramai 3,500 orang lagi petugas kesihatan akan ditambah dengan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menggerakkan program imunisasi, kata Muyyiddin.

“Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

“Saya memberi  jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan tambahan kepada 8,000 tambahan petugas untuk Kementerian Kesihatan yang diluluskan tahun lepas. 

Berikut ringkasan inisiatif dan bantuan selanjutnya yang diumumkan perdana menteri:

* RM1 bilion untuk tambah baik Program Subsidi Upah bawah Perkeso yang membolehkan semua majikan memohon tanpa mengira sektor. Majikan yang layak akan terima subsidi upah RM600 bagi setiap pekerja bergaji kurang RM4,000. Had naik kepada 500 pekerja.

* Syarat mohon program Sistem Insurans Pekerjaan dilonggarkan. Pekerja tidak penuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan selepas tiga kali pembaharuan dibenarkan memohon SIP Prihatin, melibatkan jumlah 30% daripada tiga bulan gaji.

* RM24 juta untuk carumah penuh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso bagi pekerja penghantaran.

* Bantuan kewangan RM1,000 melalui Geran Khas Prihatin diperluas kepada 500,000 perkhidmatan kecil dan sederhana (PKS) di tujuh negeri bawah PKP. Sebanyak 300 ribu PKS di negeri yang lain akan terima RM50). Negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP akan diberi bantuan tersebut serta merta.

* RM66 juta untuk bantuan sekali bayar RM500 kepada setiap 14,000 pemandu pelancong dan 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing. 

* Kelonggaran syarat pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi. Syarat pemilikan minimum dilonggarkan kepada lima tahun, bermula 1 Januari hingga 31 Disember.

* Kemudahan pinjaman mudah berjumlah RM1 bilion akan dipercepatkan. Pinjaman melalui Bank Simpanan Nasional (RM390 juta), Agrobank (RM350 juta) dan Tekun (RM295 juta).

* RM300 juta untuk kempen e-dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online untuk bimbingan perniagaan dan penjimatan pembelian dalam talian.

* Pembiayaan maksimum Skim Jaminan Prihatian Danajamin naik dari RM500 juta kepada RM1 bilion. Skop pembiayaan diperluas kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan hingga 10 tahun. Syarikat milik asing dibenar dapat jaminan SJPD dengan syarat 75% pekerja tempatan.

* Moratorium pinjaman Mara dan sewaan premis Mara dijadual semula dan dilanjutkan. Bawah Mara Prihatin Peace of Mind peminjam boleh mohon penjadualan semula bayaran pinjaman hingga 31 Mac. Diskaun 30% bagi tempoh mulai November 2020 hingga April 2021.

* Potongan cukai khas kepada syarikat yang beri pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30% mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Lanjutan hingga 30 Jun bagi sewaan syarikat bukan PKS.

* Pengecualian levi melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB.

* Diskaun khas bil elektrik 10% bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

* Rebat elektrik kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kWj, bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9% mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

* RM1 bilion bawah Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi untuk bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan. Jaminan 50% membolehkan pengusaha bas dan teksi dapat struktur semula pinjaman dan dapat moratorium 12 bulan, bayaran balik lebih rendah.

* Pindaan ke atas Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit (Akta 829) untuk membantu individu dan perniagaan yang terkesan dari aspek ekonomi akibat wabak ini. Tempoh kuatkuasa ketidakupayaan untuk melaksana obligasi kontraktual tamat pada 31 Disember 2020, maka dilanjutkan kepada 31 Mac 2021. Ini meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit.

Butiran lanjut inisiatif yang diumumkan Muhyiddin dimuatkan di portal Belanjawan 2021. – 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen