Kit Siang beransur pulih selepas pembedahan buang tumor


KETUA Parlimen DAP Lim Kit Siang selamat menjalani pembuangan satu tumor dan dijangka pulih sepenuhnya, kata setiausaha agung parti itu hari ini.

Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan, berkata ahli Parlimen Gelang Patah itu menjalani prosedur laparoscopic partial nephrectomy pada 19 Disember untuk membuang tumor kecil, ketumbuhan kanser di buah pinggang kiri.

“Tumor kecil ini mujur ditemui ketika pemeriksaan kesihatan berkala ke atas Kit Siang.

“Ujian biopsi pada tumor, yang telah dikeluarkan, mendapati ia adalah kanser tahap pertama, kanser tahap paling rendah.

“Doktor menjangka beliau akan pulih sepenuhnya,” kata Guan Eng, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata ayahnya beransur sembuh daripada pembedahan dan sudah mula berjalan.

Beliau berkata wakil khas Ng Siam Luang akan mengambil alih tugas Parlimen Gelang Patah dipegang Kit Siang semasa tempoh pemulihan.

“Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong juga akan membantu dalam menyelia kerja di kawasan itu sepanjang tempoh ketiadaannya (Kit Siang).” – 27 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen