Angka kematian Covid-19 cecah 600 orang


Ravin Palanisamy

Pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Januari, 2021.

JUMLAH kematian keseluruhan akibat Covid-19 di Malaysia mencecah 601 orang hari ini apabila sebanyak tujuh kematian baharu direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia juga mencatatkan 3,339 kes baharu Covid-19, hari kelima berturut-turut dengan lebih 3,000 kes harian dicatatkan.

Semalam, Malaysia mencatatkan 4,029 kes Covid-19.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini kini ialah sebanyak 158,434.

Terdapat 2,676 kes pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih berjumlah 120,051 manakala kes aktif pula sebanyak 7,782.

Seramai 240 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 93 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Noor Hisham berkata daripada jumlah hari ini, 15 adalah kes import sementara selebihnya jangkitan tempatan.

Selangor sekali lagi menduduki tempat teratas dengan melaporkan 1,314 kes diikuti Sabah dengan 393 kes dan Johor sebanyak 362 kes.

Ini adalah hari ke-10 berturut-turut Selangor mencatatkan bilangan kes Covid-19 harian tertinggi mendahului negeri lain.

Menjelaskan lebih terperinci mengenai kes kematian hari ini Noor Hisham berkata, tiga kematian dilaporkan di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Kedah.

Empat daripada tujuh mangsa adalah wanita.

Ini juga merupajan hari ke-39 Malaysia melaporkan kes empat digit berturut-turut setiap hari. Jangkitan harian tiga digit terakhir dicatatkan pada 9 Disember 2020. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen