TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia menggerakkan asetnya dalam menghantar bantuan bekalan makanan ke kawasan terjejas dengan Taufan Tembin yang melanda selatan Filipina.
Panglima TLDM Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata antara aset TLDM yang akan terlibat dalam misi berkenaan adalah Kapal Diraja (KD) Kedah.
KD Kedah akan digerakkan pada bila-bila masa sejurus mendapat kelulusan untuk melaksanakan misi ini, katanya.
Isnin lepas, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kementeriannya menerusi Angkatan Tentera Malaysia diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan berkenaan yang mengalami banjir serta tanah runtuh, terutama di Tubod dan Piagapo.
Hishammuddin juga menghubungi Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana untuk menzahirkan simpati kementerian serta rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana di selatan negara itu.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan lebih 200 orang terbunuh manakala berdozen lagi hilang ketika taufan itu melintasi wilayah berkenaan. – Bernama, 27 Disember, 2017.
Komen