Adun Bukit Gasing gesa pasar basah dibenarkan beroperasi seawal 6 pagi


Perubahan waktu operasi pasar basah dapat memberi kesan besar terhadap pendapatan peniaga dan kemudahan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) perlu membenarkan pasar basah dibuka sejam lebih awal pada pukul 6 pagi agar peniaga memperoleh lebih banyak pendapatan, dan ia lebih memudahkan rakyat, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Dalam satu kenyataan, Rajiv berkata beliau menerima banyak aduan dari kawasannya mengenai waktu yang ditetapkan kerajaan bagi operasi pasar basah.

Pada masa ini, pasar basah dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang, sementara kedai dan restoran lain dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

“Jelas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob tidak membuat pembelian bagi rumahnya. Jika tidak, beliau akan tahu kebanyakan orang, terutama yang bekerja, pergi ke pasar seawal jam 5 pagi untuk membeli, pulang ke rumah dan kemudian bersiap untuk pergi kerja atau sekolah.

“Sudah hampir setahun PKP atau yang lain dilaksanakan dan kerajaan masih tidak pasti mengenai mewujudkan SOP yang komprehensif dan masuk akal.

“Bila mereka akan mendengar rungutan rakyat dan memberikan rancangan yang dipikirkan dengan baik untuk diikuti sepanjang tempoh ini,” katanya.

Beliau menambah, tidak masuk akal perniagaan lain termasuk perkhidmatan dobi dan kedai haiwan peliharaan, dibenarkan bermula pada jam 6 pagi tetapi bukan perkhidmatan penting seperti pasar basah dan pasar tani.

Wakil rakyat DAP itu berkata perubahan sejam dapat memberi kesan yang besar terhadap pendapatan peniaga pasar dan kemudahan rakyat.

“Ini dapat memberi perbezaan besar bagi peniaga dan juga pengguna. Saya mendesak kerajaan mempertimbangkan kembali waktu operasi pasar basah,” tambahnya.

Pada April 2020, ketika tempoh PKP yang pertama, kerajaan membenarkan pasar basah beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang.

Kemudian pada November, pasar basah, di bawah PKP bersyarat, ia dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 4 petang. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen