3 momen PKP yang menyentuh rasa


Zainal Rashid Ahmad

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) ialah kata kunci paling besar dalam tempoh 10 bulan ini. Lebih besar berbanding teriakan PRU15 yang diraungkan pemabuk kuasa. 

Selain PKP sebagai kata kunci utama, kita mamai dengan terma “angka jangkitan”, “jumlah mati”, “kes pulih” dan “kes aktif”. 

Itu senario umum setiap hari. Namun, PKP sejak 18 Mac ke 10 Jun 2020 dan berulang lagi pada 14 Januari lalu, juga menyimpan sisi gelap yang lain. 

Apapun tidaklah gelap-gelita. Kisah-kisah derita manusia ada di mana-mana. Tiga kisah di bawah ialah “nuansa hidup” yang makin menekan sejak ekonomi merudum teruk akibat Covid-19. 

Kita berkongsi kisah agak “klise” tetapi itu lebih baik berbanding sengaja mengabaikan realitinya. Semua kisah ini berkaitan dengan himpitan hidup akibat tekanan ekonomi yang melanda mereka yang rentan akibat kegelinciran rezeki. 

1.
Seorang remaja masuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN), Bandar Sri Permaisuri, Cheras. 

Dia terus duduk dan tunduk sugul memerhatikan ke lantai. Lepas sejam namanya tidak dipanggil, segera dia berjalan perlahan ke kaunter dan bertanya. 

Orang tak ramai dan kita boleh mendengar dengan jelas perbualannya. 

“Dah lama tunggu akak, tapi belum panggil…” 

“Nombor berapa?” Tanya pegawai kaunter. 

Oh, rupanya remaja ini terlupa ambil nombor giliran. 

“Tak apa,” kata pegawai kaunter: “Adik nak apa?” 

“Nak keluarkan semua wang RM50 dalam buku?” 

“Kenapa tak pakai ATM?” 

“Nak keluar semua. Duit ada 50 lebih ja dalam buku. Takleh pakai ATM. Saya betul-betul nak pakai duit, kak. Kat ATM tak boleh keluar semua.” 

Pegawai kaunter segera memproses tanpa perlu mengarahkan remaja penyedih itu kembali ke mesin nombor giliran. 

Tiga minit kemudian dengan sehelai wang RM50, remaja itu melangkah keluar. Wajahnya sangat sedih dan matanya sangat sugul. Pasti dia memikul beban hidup yang berat. 

“Moga Allah mudahkan hidup anak muda ini.” 

Terima kasih Pegawai Kaunter BSN yang baik hati. 

2.
(Di kedai serbaneka Bandar Dwi Tasik, Cheras). 

Ada enam orang berbaris menanti giliran membayar di kaunter. Seorang ibu berpakaian selekeh bersama anak kecilnya menanti giliran. Di dalam bakul ibu muda itu hanya nampak sedikit ikan dan sayuran. 

Di tangan si anak ada sebungkus roti Gardenia Butterscoth. Si anak memeluk rotinya. Sampai di kaunter, baru si ibu pun perasan anak berusia sekitar empat atau lima tahun itu memegang roti. 

(Ya Allah). 

Melihatkan anaknya meletakkan roti di atas kaunter, wajah si ibu dengan sedih dan malu-malu cuba memujuk anaknya. 

Boleh nampak air muka si ibu sangat sedih dan malu. Sebab waktu itu ada orang berbaris di belakangnya. 

“Adik… mak tak cukup duit. Tak boleh ambil roti. Letak balik.” 

Si anak memegangnya juga. Kali ini memeluk roti di dada. Wajah si ibu jadi panik. Nampak dia bukan jenis berkasar dengan anak. 

“Tak apa akak, saya bayarkan. Ambillah dik… sedap roti ni,” kata seorang gadis. 

Segera si gadis menghulurkan not RM10 ke kaunter. 

Yang membayar orang lain. Yang sebak kitalah pula. 

3.
Seperti selalu – saya suka berbual mesra dengan pemandu Grab. Sebab jarang dapat jumpa manusia “berdepan mata”. 

Keluarga adalah topik kesukaan saya. Hinggalah kali ini – ia jadi topik berduka. 

“Saya tengking anak saya dan rasanya dia dah dua hari tak balik rumah dan tidur di rumah kawannya,” kata pemandu Grab. 

Isunya mengharukan. Anaknya mendapat tawaran belajar Komputer Grafik di Universiti Pendidikan Sultan Idris. 

Cuma, kos membeli komputer sangat mahal. 

Saya memujuk pemandu Grab ini (sebab dia muda sikit). Saya kata – 20 pekerjaan tawaran tertinggi dalam pasaran masa depan ialah teknologi digital. 

“Bagus anak ambil kursus tu.” 

Pemandu Grab seorang bekas tentera. 

“Saya tak mampu beli komputer sebab untuk kursus ini harganya hampir RM6 ribu. Saya adalah duit, tapi tak cukuplah kalau sampai banyak macam itu,” kata pemandu Grab. 

Saya terkedu. 

Tidak lama kemudian setelah kami terdiam – pemandu Grab bersuara. 

“Sekarang masa susah sebab pendapatan bawa Grab tak seberapa. Saya garang tapi tak pernah tengking anak. Rasa bersalah juga tengok dia keluar rumah menangis. Anak lelaki saya tidak pernah menangis.” 

Saya hanya berkata: “Dia menangis sebab dia tahu cita-citanya. Tetapi, dia pun faham juga kesusahan bapanya.” 

Ini tragedi antara ketidakupayaan seorang bapa yang tekun membawa Grab 14 jam sehari. Serta konflik anak yang mahu menjadi Pereka Grafik. 

Esoknya, pemandu Grab Whatapps saya:

“Alhamdulillah dan terima kasih. Dah beli komputer dan anak saya menangis di meja makan lihat komputer baru…” 

“Alhamdulillah…,” kata saya. 

Banyak insiden yang kita semua telah dan akan terus melihat. Banyak kes lain yang lebih menyedihkan. Tiga kes di atas hanya kes-kes biasa. 

Tetapi yang penting ialah belajar  “hakikat” apabila berdepan pengalaman begini. Jangan lepaskan begitu saja. 

Belajar dan fahami semua ini sebagai “ilmu akal dan hati”. 

Sama seperti Allah mengajarkan Nabi Musa dan Nabi Khidir dalam perjalanan mencari hakikat “pengajaran dan pelajaran” kehidupan. – 17 Januari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen