Tak salah ahli Parlimen rayu Agong batal darurat, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Pengisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong bermaksud penggantungan Parlimen hingga Ogos, dan menunda sebarang pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim tidak membuat sebarang kesalahan dalam meminta ahli Parlimen merayu Yang Di-Pertuan Agong menarik kembali pengisytiharan darurat, kata beberapa peguam kanan.

Namun mereka tidak bersependapat sama ada adakah langkah Anwar itu betul atau tidak.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight, pengisytiharan darurat sah walaupun tidak melalui proses Parlimen terlebih dahulu.

Mereka berkata demikian berikutan memo Anwar kepada semua ahli Parlimen untuk merayu kepada Agong dengan alasan Perintah Darurat digunakan sebagai alat politik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Peguam Haniff Katri Abdulla berkata, Anwar yang merupakan presiden PKR harus mempersoalkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan bukannya merayu Agong menarik Perintah Darurat.

“Tidak ada yang dapat menghentikan mana-mana ahli Parlimen daripada memberikan cadangan kepada Agong. Anwar boleh buat tetapi masalahnya bukan mengenai keadaan darurat kesihatan yang diisytiharkan oleh Agong. Ini adalah mengenai persoalan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Ketika Muhyiddin menasihati Agong tentang keadaan darurat pada jam 5.30 petang 11 Januari lalu, beliau telah kehilangan sebahagian besar sokongan ahli Parlimen, oleh itu adakah nasihatnya kepada Agong itu sah?

“Anwar sepatutnya mempersoalkan kedudukan (Muhyiddin) daripada merayu untuk menarik balik pengisytiharan itu,” katanya.

Kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang harus dipersoalkan dan bukannya merayu Agong menarik perintah darurat, kata Peguam Haniff Katri Abdulla. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Perintah Darurat di negara ini sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan Covid-19.

Agong juga dinasihatkan oleh Muhyiddin untuk mengisytiharkan Perintah Darurat berikutan mesyuarat khas Kabinet pada Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Agong bersetuju dengan Perintah Darurat memandangkan peningkatan kes Covid-19 hingga empat digit setiap hari, yang menggoncang sistem kesihatan kesihatan negara.

Pengisytiharan darurat bermaksud penggantungan Parlimen hingga Ogos, dan menunda sebarang pilihan raya.

Haniff berkata pengisytiharan darurat itu sah tetapi apa yang boleh ditentang oleh ahli Parlimen adalah kesahihan Muhyiddin.

“Beliau kehilangan sokongan Parlimen ketika beliau menasihati Agong mengenai keadaan darurat,” katanya.

Bekas ahli akademik Prof Aziz Bari dan peguam Syahredzan Johan juga bersetuju Perintah Darurat itu sah.

“Perlembagaan persekutuan mengatakan bahawa setelah Parlimen bersidang, pengisytiharan darurat perlu dibentangkan di Parlimen. Ia tidak mengatakan mesti dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan,” kata kedua pakar undang-undang itu.

Aziz juga berkata tidak ada yang salah dengan tindakan Anwar untuk mendesak ahli Parlimen merayu Agong untuk menarik kembali pengisytiharan darurat.

Bekas presiden Majlis Peguam Kutubul Zaman Bukhari mencerminkan pandangan Aziz dengan berkata tindakan Anwar tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Proklamasi itu sehingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal apabila kes positif harian Covid-19 dapat diurus dan diturunkan dengan berkesan.

“Anwar boleh merayu Agong menarik balik darurat kerana ada peruntukan untuk itu,” tambahnya. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen