Tahun baharu suram untuk restoran Cina


Angie Tan

Di bawah penguatkuaaan PKP, restoran hanya dibenarkan beroperasi untuk khidmat tempahan makanan dibawa pulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

HARAPAN pemilik restoran Cina untuk perniagaan mereka pulih ketika musim sambutan Tahun Baharu Cina, hancur apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali lagi sejak Rabu lalu.

Mereka bimbang PKP yang dilaksanakan dari 13 hingga 26 Januari, akan dilanjutkan sehingga tempoh Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 12 Februari.

Di bawah penguatkuaaan PKP di Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, restoran tidak dibenarkan khidmat makan di premis.

Pelanggan hanya boleh membeli makanan untuk dibawa pulang, ini bermakna tidak akan ada permintaan tinggi bagi aktiviti makan besar di restoran.

Presiden Tukang Masak dan Restoran Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon berkata restoran Cina meletak harapan tinggi untuk kembali berniaga pada tahun baharu, tetapi kecewa dengan PKP kedua.

“Kami memang menantikan untuk perniagaan kembali pulih pada tahun baharu, tetapi keadaan Covid-19 semakin teruk, dan tidak mengejutkan apabila PKP dikuatkuasakan sekali lagi.

“Tetapi ia tetap mengecewakan, dan restoran Cina sekali lagi berdepan kemungkinan pendapatan sifar,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata dalam tempoh kurang sebulan lagi sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, restoran kini mula menyediakan pakej makanan bersesuaian dengan perintah berkurung.

“Kita tahu keadaan tidak sebaik ketika Tahun Baharu Cina tahun lalu, tetapi kami harap ia sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit keadaan pendapatan kami. Sekarang, tidak guna lagi hendak berharap,” katanya.

Wong berkata selepas menanggung kerugian pada PKP tahun lalu (Mac hingga Mei), peniaga pada masa ini tidak lagi membeli stok barangan yang banyak bagi mengelak berdepan rugi lagi.

Katanya, sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina biasanya kemuncak untuk restoran Cina sementara perniagaan pada bulan berikutnya iaitu Mac dan April biasanya agak perlahan.

“Kita perlu tunggu adakah keadaan pada Mei bertambah baik, mungkin majlis perkahwinan dibenarkan pada waktu itu.

“Kami masih berharap kerajaan akan melonggarkan sekatan dan benarkan restoran beroperasi,” kata Wong.

Buat masa ini, katanya restoran hanya fokus kepada perkhidmatan makanan bawa pulang. – 18 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen