Chef Wan kecam portal putar belit catatannya di Instagram


Posting Chef Wan di Instagram yang didakwa sengaja disalah tafsir oleh sebuah portal berita sehingga membuatkannya seolah-olah menyebelahi pihak tertentu. – Gambar Instagram, 27 Disember, 2017.

CHEF selebriti Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, mengkritik sebuah portal berita kerana memutarbelitkan posting Instagram terbarunya yang membuatkannya seolah-olah berpihak kepada parti politik tertentu.

Berkongsi rakam layar artikel yang disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan, Chef Wan berkata laporan itu dengan sengaja salah menafsirkan posting Instagram terdahulunya yang menyatakan beliau tidak tertarik untuk menyebelahi mana-mana parti politik.

Portal itu mengambil artikel daripada Malaysiakini berjudul “Chef Wan snubs both sides of the political divide, points to Dr M’s fate”, dan menggantikannya dengan tajuk lebih kontroversi yang bertulis “All I want for Christmas is a New PM: Outraged by PM Najib’s senseless attacks on ex-PM, Chef Wan the latest celebrity to demand change”.

Sebagai respons, Chef Wan menggunakan platform Instagram meluahkan kemarahan dengan mengatakan beliau “difitnah” dan artikel tersebut telah memutarbelit dan mensensasikan kata-katanya.

“Kita yang berkata benar dan menasihatkan yang baik-baik pula disalahertikan mahupun difitnahkan!” kata anak kelahiran Singapura itu.

Kebanyakan pengguna Internet menyatakan simpati mereka terhadap chef selebriti itu, malah ada yang menggesa beliau menyaman portal, yang pernah diharamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2015.

Artikel yang dipersoalkan turut meletakkan posting Instagram Chef Wan pada Hari Krismas yang memaparkan baju kemeja T berwarna merah bertulis: “All I want for Christmas is a new prime minister”.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak berminat untuk berpihak kepada terhadap politik Malaysia.

Dalam catatan asal itu, beliau berkata tiada keperluan bagi sesetengah ahli politik untuk bertindak dengan kebencian dan dendam kerana perbezaan politik, terutamanya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mendapati kelakuan sedemikian sangat menjijikkan,” katanya.

Posting itu menerima lebih 8,600 “suka” dan 400 komen daripada pengikutnya.

Chef Wan juga berkata Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pernah cuba memujuknya berkempen untuk mereka.

“Gajah dgn gajah nak berperang kita nak tersepit untuk apa?” katanya.

Chef Wan merupakan selebriti tempatan terkini yang terlibat dalam kontroversi kerana menyuarakan pendapat mereka mengenai keadaan politik dan tadbir urus negara.

Ratu Jazz, Sheila Majid, diserang hebat oleh pembantu isteri perdana menteri, Rizal Mansor kerana menggunakan Twitter untuk meluahkan pandangan politiknya awal bulan ini.

Chef Wan mempunyai lebih 383,000 pengikut di Instagram. – 27 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen