Vaksin dan pendekatan menyeluruh menangani Covid-19


SEHUBUNGAN dengan pembukaan sekolah-sekolah dan universiti-universiti seawal tanggal 20 Januari 2021, amat membimbangkan apabila Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba tidak meletakkan institusi pendidikan sebagai keutamaan mendesak dalam senarai penerima vaksin untuk mencegah Covid-19 yang terdiri daripada para pekerja barisan hadapan dan populasi yang mempunyai risiko yang tinggi.

Saya mendesak keras pihak kerajaan dan menteri kesihatan untuk melaksanakan senarai keutamaan mendesak yang menyeluruh dengan lebih serius bagi mengurangkan penyebaran dan melindungi mereka yang terdedah kepada penularan berisiko tinggi:

a) Kanak-kanak yang bersekolah dan pelajar universiti yang akan memulakan sesi pembelajaran kembali di pelbagai institusi pendidikan;

b) Cikgu-cikgu sekolah, profesional pendidikan, pekerja kontrak (pemandu bas sekolah dan bas universiti, penghantaran makanan, pemilik dan peniaga kantin), pekerja (tukang bersih, tukang kebun) dan mana-mana individu yang akan berhubung, berinteraksi dan/atau memberikan perkhidmatan kepada institusi pendidikan;

Pihak kerajaan perlu mengambil tanggungjawab apabila mereka membuat pengumuman mengenai pembukaan sekolah dan universiti serta mengambil usaha yang serius untuk menangani risiko-risiko yang berpotensi kepada murid-murid sekolah dan pelajar-pelajar universiti apabila mereka kembali ke sekolah dan universiti, terutamanya di kawasan zon merah.

Galen Centre telah mengesyorkan senarai sub-populasi yang perlu ditempatkan dalam senarai keutamaan untuk mendapatkan vaksin. Senarai tersebut adalah seperti berikut:

c) Warga emas dan mereka yang tinggal dengan pelbagai situasi komorbid (pelbagai penyakit dan penyakit rumit)

d) Pekerja-pekerja asing dan pekerja pelarian di industri-industri kita, perkhidmatan rumah dan domestik, dan pekerja-pekerja kilang yang diberikan tempat tinggal bersama, penjara-penjara dan pusat-pusat tahanan yang mempunyai risiko tinggi bagi penularan.

e) Individu-individu yang bekerja di sektor-sektor perkhidmatan penting, termasuk kesihatan dan kebajikan sosial, penguatkuasaan undang-undang, pembersihan dan sanitasi, serta air, makanan dan pengurusan elektrik.

Perkara akhir yang kita tidak mahu lihat untuk berlaku adalah apabila golongan yang termasuk dibawah kategori penularan berisiko tinggi terdedah dan mendapat jangkitan, yang akan menyebabkan pengunduran terhadap kelebihan dan impak yang akan dibawa melalui vaksinasi. 

Seperti yang kita tahu, kita sedang menghadapi kes jangkitan berangka 4 digit pada setiap hari. Oleh itu, satu strategi yang sangat teliti dan menyeluruh serta senarai keutamaan adalah sangat perlu dan penting untuk disegerakan.

Pada peringkat ini, kita masih belum mengetahui bagaimana pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan akan memulakan program imunisasi peringkat kebangsaan.

Walaupun sudah dilaporkan bahawa pihak kerajaan akan menyediakan vaksin percuma kepada 80 peratus daripada jumlah populasi atau 26 juta rakyat, perinciannya kekal kabur dan kita dibiarkan untuk berada dalam situasi yang gelap dan tidak jelas mengenai siapakah individu atau golongan yang akan diberikan keutamaan dan sama ada terdapat asas saintifik sebagai rujukan bagi keutamaan-keutamaan ini.

Mengikut laman web Pfizer, ia menimbulkan beberapa soalan yang amat penting tetapi belum dapat dijawab oleh kerajaan, iaitu:

1. Vaksin tidak selamat untuk wanita hamil dan wanita yang merancang untuk hamil dalam beberapa bulan selepas mengambil vaksin. Juga, adakah wanita yang sudah bersalin boleh menyusu jika mereka telah menjalani vaksin;

2. Vaksin tidak selamat bagi mereka yang ditindas imuno (mengalami reaksi alahan);

3. Belum ada ujian atau percubaan yang dilakukan untuk menentukan kesan sampingan jangka panjang atau untuk menentukan kesan sampingan jika diambil bersama unbat-ubatan lain yang ditetapkan

4. Belum ada maklumat apakah vaksin yang akan menyebabkan kemandulan;

5. Belum memastikan bahawa bila mengambil vaksin, tidak akan menghalang anda menyebarkan virus;

6. Belum ada maklumat bahawa vaksin ini adalah sesuai untuk orang yang berumur di bawah 16 tahun;

Soalan atau isu seperti di atas perlu ada jawapan. Sebenarnya, kedua-dua Pfizer dan Biotech meminta kekebalan yang tegas dari pendakwaan sekiranya berlaku kematian atau bahaya diri akibat mengambil vaksin.

Lain-lain isu yang perlu pencerahan adalah termasuk keperluan untuk menyimpan vaksin tersebut pada suhu rendah? 

Adakah 20 peratus rakyat yang tidak mendapat vaksin percuma perlu membayar untuk mendapatkan vaksin? Siapakan golongan ini? Berapakah kos yang perlu dibayar? 

Hakikatnya, sehingga kini, Menteri masih lagi melihat pengumuman bersifat atas angin tanpa perincian dan maklumat yang lengkap sebagai satu keperluan dan terus melakukan perkara ini. 

Orang awam menuntut lebih daripada pengumuman yang bersifat sebegini dan sebagai sebuah kerajaan pada hari ini, kepimpinan harus mengamalkan pemerintahan yang telus dan jujur.

Perkembangan vaksin-vaksin Covid-19 menandakan isyarat bagi titik perubahan untuk negara-negara bergerak menjangkaui spektrum wabak pandemik ini dan kesan-kesannya. 

Namun begitu, strategi vaksinisi perlulah didasarkan pada keutamaan untuk memaksimumkan sumber daya yang terhad dan berharga. Seperti yang telah dilihat daripada negara-negara lain yang telah memulakan pelepasan dan pelaksanaan vaksin, terdapat pelbagai cabaran yang telah dihadapi, banyak yang mempunyai kaitan dengan pengurusan skala latihan imunisasi dan menggalakkan orang awam untuk tampil ke hadapan untuk diberikan vaksin. 

Impak sosial imunisasi akan bergantung kepada bagaimana kerajaan Malaysia mengedarkan dan mentadbir vaksin dalam keadaan yang saksama. – 15 Januari, 2021.

*Maria Chin Abdullah, ahli Parlimen Petaling Jaya


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen