Darurat kesihatan atau darurat politik?


AHLI Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan sesetengah individu yang mempersoalkan proklamasi darurat. 

Dalam kenyataannya “Titah Darurat, Penderhaka Harus Dihukum”, Faiz menegaskan pemimpin yang menyalak mengenai pilihan raya harus belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mungkin saudara Faiz lupa PRN Sabah dilaksanakan oleh kerajaan hari ini akibat tindakan rakus untuk merampas kerajaan negeri sedia ada. 

Jika kerajaan hari ini fokus tentang masalah rakyat dan tidak sibuk berpolitik kes Covid-19 juga masih terkawal. Apalagi dengan tindakan undang-undang yang berat sebelah apabila ada menteri yang melanggar SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilepaskan begitu sahaja. 

Malah Faiz dalam kenyataannya mengiyakan bahawa kerajaan Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti akibat beberapa pemimpin Umno yang mendesak untuk mengadakan pilihan raya.

Bukankah Umno sebahagian rakan koalisi Perikatan Nasional (PN) dan tanpa Umno benarlah Muhyiddin sudah hilang majoritinya di Parlimen?

Saya juga ingin menyedarkan Faiz pihak pembangkang berulang kali dalam kenyataannya menyuarakan hasrat untuk memerangi Covid-19 bersama. 

Yang sibuk berpolitik itu adalah pihak kerajaan, jika sudah hilang majoriti berundur sahaja dan jangan pula menggunakan darurat sebagai alat untuk mengekalkan kuasa. 

Menurut kenyataan Istana Negara, proklamasi darurat ini diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agong (YDPA) untuk memerangi Covid-19. Jadi, saudara Faiz sepatutnya diam sahaja dan tidak mengeluarkan kenyataan politik dan fokus untuk memerangi wabak Covid-19. 

Bukankah darurat diisytiharkan untuk memerangi wabak Covid-19 atau adakah saudara Faiz mengiyakan ini sebenarnya adalah “darurat politik”?

Saya juga ingin memperbetulkan kenyataan Faiz tentang pengampunan diraja yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim yang kini sudah bebas rekod daripada penjara. 

Ironinya, pengampunan ini diusahakan oleh pengerusi Bersatu ketika itu Dr Mahathir Mohamad kerana ia perjanjian yang ditetapkan oleh rakan gabungan Pakatan Harapan. Jadi, kenapa ingin menyalahkan diri sendiri pula? 

Setelah ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada, ia sebenarnya mengesahkan bahawa kerajaan hari ini sudah hilang majoriti di Parlimen.

Menariknya, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri namun keesokan harinya terus mengisytiharkan darurat namun sehingga hari ini belum mengumumkan apa-apa bentuk bantuan kepada rakyat. 

Jika benar darurat ini untuk memerangi Covid-19 sepatutnya solusi jangka panjang untuk rakyat juga turut dibentangkan namun yang kita semua lihat pada hari ini, ia ternyata lebih kepada ‘darurat politik’. – 15 Januari, 2021. 

* Wan Muhamad Haikal, timbalan ketua Pemuda PKR Terengganu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen