-2.jpg)
TEMPOH penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan berakhir pada 2023. Ini bermakna, kita mempunyai kira-kira dua tahun lagi sebelum penggal itu berakhir.
Tempoh dua tahun itu, boleh dikatakan lama masanya. Seseorang wakil rakyat boleh memanfaatkan mandat pengundi yang diperolehinya untuk berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat di kawasannya.
Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19, wakil rakyat tersebut perlu terus memainkan peranan mereka untuk memberi peruntukan dan bantuan kepada rakyat.
Ini ditambah pula dengan bencana banjir yang melanda enam buah negeri dengan ribuan mangsa terjejas. Selain itu, ramai dibelenggu masalah pengangguran serta kehilangan punca pendapatan.
Rakyat menempuhi kehidupan yang serba mencabar ketika ini. Pendek kata, pilihan raya adalah perkara terakhir yang perlu berlangsung ketika ini.
Tempoh masa dua tahun, atau setidak-tidaknya dalam masa terdekat ini, perlu digunakan sebaik-baiknya untuk merawat negara ini ekoran pandemik dan bencana alam tersebut.
Dalam hal ini, boleh dilihat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menegaskan agar kerajaan tidak melaksanakan pilihan raya umum jika wabak tersebut belum berjaya dibendung.
Pada Ogos tahun lalu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilaporkan mencadangkan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan rundingan dengan semua parti politik di Dewan Rakyat untuk memastikan kestabilan politik.
Anthony berkata ia akan memberi keyakinan kepada pelabur dan perniagaan, selain membolehkan kerajaan menumpukan usaha menangani Covid-19 dan menghidupkan semula ekonomi.
Rundingan seperti juga itu, katanya dapat mengelak risiko kemungkinan mengadakan pilihan raya umum mengejut yang akan menelan kos perbelanjaan besar dan berdepan risiko meningkatkan penularan Covid-19.
Awal bulan ini, 14 ahli Parlimen pembangkang daripada PKR, DAP, Amanah, Warisan, Pejuang dan Bebas dalam satu kenyataan bersama menolak sekiranya PRU15 diadakan ketika negara berdepan penularan Covid-19, banjir dan masalah ekonomi.
Mereka mengakhiri kenyataan itu dengan berkata: “Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!”
Beberapa hari lepas juga, setiausaha agung DAP dalam kenyataannya memberitahu: “Semua parti politik lain termasuk pembangkang PH dan DAP menentang tuntutan untuk pilihan raya awal.”
Kesimpulannya, kepimpinan PH dilihat konsisten dalam pendirian agar pilihan raya awal tidak dijalankan terutama ketika negara sedang dalam pertempuran melawan pandemik, menguruskan bencana alam dan membantu rakyat yang terkesan daripada segi ekonomi.
Justeru, tidak timbul isu PH mahukan pilihan raya umum awal.
Apa yang penting ketika ini, usaha merawat negara daripada kesan Covid-19 dapat diperhebatkan. Kerajaan diharap menggunakan pendekatan membabitkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam mengendalikan pandemik Covid-19. – 15 Januari, 2021.
* B Suffian ialah pembaca The Malaysian Insight.
Komen