Pejuang sekutu penting pada PRU15, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir berkata walaupun pun menyedari Pejuang sebuah parti kecil dan masih belum didaftarkan secara rasmi, namun prinsip antirasuah yang diperjuangkan berupaya menarik sokongan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2021.

PEJUANG yakin ia akan menjadi sekutu penting bagi mana-mana gabungan yang mahu membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, kata pengasasnya Dr Mahathir Mohamad. 

Bekas perdana menteri berkata walaupun pun menyedari partinya kecil dan masih belum didaftarkan secara rasmi, namun prinsip antirasuah yang diperjuangkan berupaya menarik sokongan rakyat.

“Kebimbangan utama kami adalah rasuah. Orang yang berduit boleh membeli seluruh kerajaan. Kami sedar, kami ini parti kecil tetapi kami mahu berjuang membanteras rasuah.

“Mana-mana parti utama harus bekerjasama dengan kami untuk bentuk kerajaan. PN (Perikatan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) tidak akan mendapat majoriti jelas,” kata Dr Mahathir dalam temu bual bersama stesen radio BFM hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Umno tetapi menolak pemimpin yang dibicarakan di mahkamah.

“Saya tak akan bekerjasama dengan orang yang didakwa di mahkamah kerana jenayah, sama ada disabitkan bersalah atau tidak,” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu mensabitkan Najib bersalah atas semua tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya. – 15 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen