Fokus turunkan jangkitan, bukannya kurung rakyat, gesa ahli ekonomi


Bernard Saw

PKP 2.0 sudah pasti akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara berdasarkan pengalaman akibat penguatkuasaan perintah itu pada Mac tahun lalu, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

FOKUS utama Putrajaya sepatutnya lebih kepada bagaimana menurunkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 berbanding melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengurangkan jumlah kes harian, kata ahli ekonomi.

PKP kali kedua sudah pasti akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara berdasarkan pengalaman akibat penguatkuasaan perintah itu pada Mac tahun lalu, tambah mereka.

Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini diletakkan di bawah PKP, manakala PKP Bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

Perlis dan Sarawak kekal berada di bawah PKP Pemulihan.

Selain itu, Perdana Menteri Muhyiddin turut mengisytiharkan perintah darurat sehingga 1 Ogos untuk membendung penularan Covid-19.

Profesor Wong Chin Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata PKP pada tahun lalu dikuatkuasakan ketika negara mencatatkan angka harian tiga digit dan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum turun kepada dua digit.

Ini bermakna tempoh PKP kali ini mungkin akan lebih panjang untuk angka harian turun kepada dua digit, kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya lebih menumpu kepada menurunkan kadar kebolehjangkitan (R-naught), bukan angka harian.

“Kami berharap R-naught boleh diturunkan kepada bawah 1.0, kemudian barulah PKP Bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan.”

Ini kerana lebih lama tempoh PKP dikuatkuasakan akan menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk, sedangkan risiko jangkitan masih ada, jelasnya.

Ahli ekonomi menjangkakan tempoh PKP kali ini mungkin akan lebih panjang untuk angka harian turun kepada dua digit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2021.

PKP pada tahun lalu berjaya melandaikan keluk jangkitan, namun gelombang kedua dan ketiga muncul selepas itu.

“Mungkin akan ada PKP 3.0, melainkan program vaksin berjalan mengikut perancangan.

“Dan setiap kali PKP dikuatkuasakan, ekonomi sudah pasti terkesan. Ekonomi belum pun pulih tetapi sudah terjejas lagi,” kata Wong.

Rakyat Malaysia juga katanya perlu bersiap sedia PKP mungkin akan dilaksanakan lagi di masa depan.

“Dalam menangani isu Covid-19 ini kita perlu cari jalan tengah bagaimana untuk memeranginya dan pada masa yang sama tidak menjejaskan ekonomi.”

Menurut Wong, kesan PKP 2.0 terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam negara.

Beliau memberikan contoh perusahaan besar yang mempunyai simpanan tunai sudah tentu dapat menyesuaikan model perniagaan mereka mengikut keadaan semasa, tidak seperti PKS yang bergelut untuk bertahan.

PKP hanya memburukkan situasi yang dihadapi PKS, kata Wong.

Tambahnya, kebanyakan pekerja di Malaysia bekerja dalam sektor PKS dan industri itu sukar untuk pulih akibat kesan PKP 2.0.

Oleh itu, kerajaan digesa membentangkan dasar ekonomi bagi mengurangkan kesan PKP ke atas perniagaan kecil. – 16 Januari, 2021. 

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen