ISRAEL akan memberikan pasukan kawalan keselamatan kepada seorang wakil rakyat kontroversi selepas videonya menghina penduduk Palestin menjadi tular.
Oren Hazan, pemimpin parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bertindak demikian kelmarin selepas menaiki bas penduduk Palestin yang dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza bagi melawat ahli keluarga mereka yang ditahan dalam penjara Israel.
“Ahli keluarga kamu sepatutnya ditanam,” katanya dalam rakaman itu, menuntut penumpang mengutuk “tindakan ganas” terhadap Israel.
“Anak kamu anjing,” katanya kepada seorang wanita.
Hazan menggunakan tindakan itu bagi mengkritik dasar Israel memberi permit untuk lawatan seumpama itu ketika Hamas didakwa menahan tiga penduduk awam dan mayat dua anggota tentera Israel.
Seorang wanita dirakamkan menjawab: “Cakap dengan Hamas untuk lawat anak kamu, bukan kami.”
Rakaman kejadian itu menjadi tular di media sosial Palestin dan Israel, dan menerima reaksi daripada jurucakap sayap bersenjata Hamas.
“Daripada menghantar si bodoh melakukan tindakan tidak matang ini, cuba selesaikan isu ini dengan berani dan tidak mengancam wanita,” kata Abu Obeida dalam kenyataan kepada pihak berkuasa Israel. – AFP, 27 Disember, 2017.
Komen