Moratorium pinjaman 6 bulan untuk mangsa banjir, kata Tengku Zafrul


Noel Achariam

Mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara layak memohon moratorium pinjaman selama enam bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

BANK bersetuju untuk memberikan moratorium pinjaman enam bulan kepada mangsa banjir, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata negara masih berdepan musim tengkujuh yang kini menjejaskan lebih banyak negeri termasuk Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak serta Sabah dan Sarawak.

“Saya diberitahu bahawa beberapa bank bersetuju untuk memberikan bantuan pembayaran pinjaman kepada mangsa banjir termasuk lanjutan moratorium pembayaran pinjaman sehingga enam bulan.

“Kami mengalu-alukan usaha seperti ini yang sangat diperlukan dari seluruh sektor swasta dalam membantu mengurangkan beban rakyat dan perniagaan terutama dalam situasi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya kerajaan akan memastikan bantuan yang diperlukan akan sampai kepada mereka yang terjejas.

“Kita perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi membantu ekonomi pulih,” katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan, Zafrul berkata beliau ingin meyakinkan rakyat Malaysia serta pelabur bahawa pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap terbuka, sesuai dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Anda masih boleh pergi ke bank dan institusi kewangan untuk menguruskan simpanan dan pelaburan anda seperti biasa.

“Kerajaan dan agensi yang berkaitan akan memudahkan dan memastikan keadaan pasaran tetap kondusif dan teratur dalam tempoh ini.

“Dan saya meyakinkan anda bahawa ekosistem kewangan kita teratur dan terkawal dengan baik.”

Tambahnya dari segi perniagaan dan ekonomi, sektor pembuatan dan perkhidmatan utama, serta rantaian bekalan mereka dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan juga ingin meyakinkan masyarakat bahawa bekalan barang keperluan sudah mencukupi, untuk membolehkan kegiatan ekonomi utama diteruskan.

“Untuk perusahaan mikro dan kecil, gerai juga diizinkan beroperasi selama tempoh ini, walaupun dengan SOP yang lebih ketat, pelanggan hanya dapat membeli melalui bawa pulang,” katanya.

Zafrul berkata mereka akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kehidupan rakyat.

“Saya memahami bahawa apa yang kita hadapi tidak pernah terjadi sebelumnya. Kerajaan telah berulang kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen