Apa motif proklamasi darurat?


PENGUMUMAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan pengisytiharan darurat telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Meskipun PKP 2.0 dianggap ada asasnya kerana kes positif Covid-19 yang mencanak namun apa kaitannya dengan pengisytiharan darurat?

Saya tidak berniat menimbulkan keraguan atau persoalan apatah lagi untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi sebagai wakil rakyat saya bertanggungjawab bertanya apa keperluannya darurat sebegini rupa terutama jika ia kemungkinan besar bermotif politik dan dibimbangi boleh tambah menjejaskan nasib dan masa depan rakyat serta negara.

Apakah wabak Covid-19 dan bencana banjir seperti kata perdana menteri, boleh dianggap ancaman kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam sehingga diisytihar darurat?

Dengan rendah diri, saya berpendapat tidak! Saya setuju dengan hujah rakan saya Hassan Karim, ahli Parlimen Pasir Gudang.

Secara umumnya, saya tidak ada masalah untuk pihak kerajaan dan pembangkang bekerjasama demi rakyat dan negara dalam mengekang jangkitan wabak dan melandai lengkok Covid-19 sekali lagi.

Itu yang sewajarnya kerana memang benar ia terkait kepentingan perlindungan nyawa. Segala sumber dan dana wajib ditumpu kepadanya.

Masalahnya ialah kegagalan kepimpinan kerajaan. Strategi menguruskan wabak sepatutya telah dikaji semula.

Saya telah bangkitkan dan memberi beberapa saranan dalam rencana saya bertajuk “PKP: Ke Mana Kita?” pada 18 Disember 2020 (https://m.malaysiakini.com/news/555727).

Banyak pihak telah beri pandangan termasuk pakar-pakar perubatan. Antaranya ialah kepentingan melakukan ujian massa (mass testing), penjejakan kontak yang lebih pantas, pengawalan bersasar dan kaedah mengurus pesakit Covid yang lebih berkesan.

Ramai yang mahu tampil ke hadapan membantu seperti doktor perubatan, penolong pengawai perubatan, persatuan bantuan kecemasan dan lain-lain, jika diberi peluang dan insentif yang munasabah.

Begitu juga dengan hospital swasta. Apakah hospital swasta tidak boleh dirunding untuk bekerjasama dalam keadaan mendesak sekarang? Apakah hingga perlu kuasa darurat?

Selain melaksanakan PKP, PKPB dan PKPP serta strategi menyeluruh menangani fasa baharu pengurusan dan pengawalan wabak Covid-19, maka langkah menguatkuasakan PKP dan bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mencukupi pada pendapat saya untuk menangani pandemik Covid-19.

Begitu juga dengan bidang penguatkuasaan Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang dilihat memadai.

Di samping itu, kerajaan perlu telus dan bersungguh-sungguh dalam menguruskan pemberian suntikan vaksin kepada rakyat. Singapura dan Indonesia sudah mendahului dalam hal ini. Malaysia bila lagi?

Pelan Ekonomi juga wajib berjalan selari. Mengambil pengalaman lalu, kerajaan sewajarnya lebih bersedia dengan pelan untuk menangani kemurungan ekonomi dan keyakinan pelabur serta membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat yang terjejas akibat PKP dan pengisytiharan darurat. Apa pelan konkrit kerajaan?

Jadi balik kepada persoalan tadi, apa sebenarnya motif di sebalik kuasa-kuasa darurat selama enam bulan sehingga Ogos 2021? Bukankah semua perkara ini boleh dilaksanakan tanpa kuasa darurat, dengan bidang kuasa yang ada di bawah KKM dan MKN?

Memang benar perintah darurat ini tiada perintah berkurung, tiada rampasan tentera serta kerajaan persekutuan dan negeri serta badan kehakiman berfungsi seperti biasa.

Tetapi mengapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihanraya Negeri (PRN) tidak boleh diadakan sedangkan PRU15 hanya perlu diadakan menjelang 2023 manakala PRN Sarawak tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021?

Kuasa darurat bagi Pilihan Raya Kecil seharusnya memadai seperti yang dibuat untuk Batu Sapi dan Gerik.

Mengapa perdana menteri perlukan perintah pukal begitu melainkan jika beliau tahu kerajaannya telah hilang majoriti dan wajar mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan Parlimen dan letak jawatan.

Juga mengapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibenarkan bersidang seperti biasa? Apa kaitannya dengan mengawal merebaknya wabak Covid-19?

Bukankah tindakan menggantung Parlimen dan DUN pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat?

Fungsi wakil rakyat bukan sekadar menghadiri aktiviti mesyuarat Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pilihan Khas (yang belum dilantik dan bermula pun) tetapi yang lebih hakiki ialah membangkitkan permasalahan dan penyelesaian isu rakyat, serta menyemak imbang segala dasar dan pelaksanaan kerajaan. Ini hanya dapat dilakukan jika dewan bersidang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataannya menyifatkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bebas yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebagai proses semak dan imbang Parlimen.

Sementara ia dilihat sebagai tindakan terbuka dan inklusif oleh kerajaan, namun saya ingin mengingatkan speaker dan kerajaan bahawa institusi Parlimen ialah sebahagian daripada tiga tiang seri pengasingan kuasa dan tidak wajar dicampuradukkan.

Yang pasti Jawatankuasa Bebas ini bukan tertakluk di bawah Parlimen kerana ia cetusan idea oleh kerajaan. Ia tidak tertakluk bawah peraturan mesyuarat Parlimen.

Jika di bawah Parlimen maka perlu dibawa ke sidang Parlimen untuk dibahas dan diluluskan terlebih dahulu. Apa komposisinya? Apa bidang kuasanya? Masalahnya Parlimen telah digantung.

Jadi apakah sebab sebenar Parlimen dan DUN digantung ialah kerana kerajaan Perikatan Nasional ingin mengelak daripada pengesahan kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen terhadapnya?

Kesimpulannya, saya syorkan supaya pihak kerajaan menilai semula nasihat mereka berkaitan perintah darurat ini.

Ia tidak boleh diterima sama sekali terutama apabila membebankan rakyat dan berselindung di sebalik Covid-19 untuk survival politik. – 14 Januari, 2021.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah ahli Parlimen Ledang dan pengerusi PKR Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen