Kerajaan perlu lebih telus sepanjang darurat, kata kumpulan masyarakat sivil 


Hailey Chung Wee Kye Diyana Ibrahim

Kerajaan mengumumkan perintah darurat sehingga 1 Ogos di seluruh negara selepas penguatkuasaan PKP ke atas enam negeri bermula 13 Januari hingga 26 Januari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

PUTRAJAYA mesti menggunakan kuasa yang luas di bawah pernyataan darurat dengan berhati-hati dan telus, kata kumpulan masyarakat sivil.

Mereka menyatakan kebimbangan berhubung ruang demokrasi yang semakin sempit susulan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. 

“Kini Parlimen digantung dan kelulusan untuk perbelanjaan kerajaan mungkin tidak telus,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia) Muhammad Sha’ani Abdullah.

Penggantungan Parlimen mengakibatkan rakyat kehilangan suara di badan perundangan dan kurangnya pertanggungjawaban oleh kerajaan dalam keputusannya, katanya.

Perisytiharan darurat diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tujuannya adalah untuk mengekang lonjakan penularan jangkitan Covid-19 walaupun pengkritik menyatakan tiada keperluan untuk darurat, terutamanya selepas Muhyiddin menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas enam negeri yang merekodkan kes tertinggi bermula 13 Januari hingga 26 Januari.

Muhyiddin ketika mengumumkan proklamasi iu berkata, ia akan memberi kuasa yang lebih luas kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang lebih luas bagi mengekang pandemik.

Ini termasuk mengambil alih kemudahan perubatan swasta. Beliau bagaimanapun mmeberi jaminan undang-undang tentera tidak akan dikuatkuasakan mahupun perintah berkurung. Tambahnya, Malaysia masih terbuka untuk perniagaan.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan berkata sekiranya kerajaan tidak pilihan untuk melaksanakan darurat, ia mesti telus dan melibatkan pembangkang untk semak dan imbang.

“Kita harap kerajaan akan terus beroperasi dengan telus, melibatkan pembangkang dan sama-sama mengatasi krisis Covis-19.”

Pilihan raya tidak boleh diadakan ketika darurat dan Muhammad berkata ini akan menghalang pemainan politik yang mencemari kerajaan Perikatan Nasional sejak mula berkuasa pada Mac tahun lalu.

“Kerajaan kini perlu memfokuskan untuk mencari jalan bagi mengekang pandemik ini.”

Setiausaha Agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) Khoo Ying Hooi meminta kerajaan berlaku adil dalam tempoh lapan bulan ini.

Beliau menyatakan kebimbangan berhubung ketidakadilan dan denda tidak adil yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar posedur operasi standard Covid-19.

“Kerajaan perlu menggunakan kuasa darurat dalam parameter hak asasi manusia,” kata Khoo.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata keadaan darurat tidak akan membantu mereka yang terpinggir.

“Darurat tidak akan menghentikan pemerdagangan orang atau rentas sempadan secara haram.

“Darurat hanya satu langkah yang diambil oleh mereka yang mahu kekal berkuasa,” kata Pereira yang organisasinya memperjuangkan hak asasi pekerja asing.

Beliau turut merasakan perisytiharan itu hanya untuk “menutup” kelemahan kerajaan dalam menguruskan pandemik, yang melonjak sejak akhir September.

“Kerajaan tidak menguruskan penjara, depoh tahanan dan juga isu asrama pekerja.

“Ini adalah gabungan penguatkuasaan dan ketidakcekapan mengenbdalikan perkara itu. Kini angka kes Covid-19 sudah meningkat, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan dan mereka laksanakan darurat ini kepada kita.

“Ini bermakna semua orang yang tidak boleh menjalankan tugas dengan baik boleh umum darurat.”

Pereira berkata kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan fakta dan data serta melihat apa sebenarnya menyebabkan lonjakan kes Covid-19, dan bukannya membuat keputusan mengenai pandemik dari sudut politik. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen