Pusat jagaan, didikan OKU berisiko lingkup


Mohd Farhan Darwis

Tiada bantuan khusus disedia apabila penyedia pusat rawatan dan pendidikan swasta OKU itu ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

PUSAT jagaan dan pendidikan orang kelainan upaya (OKU) merayu agar kerajaan menghulurkan bantuan bagi mengelakkan operasi mereka dihentikan kerana kekurangan dana.

Pengendalinya berkata, tiada bantuan khusus disedia apabila penyedia pusat rawatan dan pendidikan swasta OKU itu ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa Mac.

Al Mustaqeem M Radhi dari Yayasan Pendidikan Insani berkata kini mereka mungkin terpaksa menutup sepenuhnya salah satu daripada dua pusat rawatan disebabkan kekangan kewangan.

“Sejak bermulanya PKP dan penularan wabak Covid-19 belum ada bantuan khusus kerajaan beri kepada pusat jagaan OKU.

“Yang diberikan adalah bantuan umum kepada semua, bantuan secara khusus kerajaan tidak ada bagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya ia menyukarkan mereka yang menumpukan khidmat kepada ibu bapa dari golongan berpendapatan rendah.

“Kita tidak boleh buka pusat rawatan dalam keadaan PKP, kami pula berurusan dengan keluarga berpendapatan rendah jadi bila pusat rawatan tidak dibuka yuran tak bayar.

“Selama beberapa bulan ini kami bertahan untuk membayar gaji kakitangan, sewa premis, dan lain-lain kos lagi. Apabila tiada pendapatan dari yuran kami dalam keadaan kritikal,” katanya.

Yayasan Pendidikan Insani mempunyai dua premis yang beroperasi di Selayang dan menggaji 10 kakitangan yang menguruskan 60 kanak-kanak autisme dari keluarga berpendapatan rendah

“Kami sudah tak mampu, Setakat ini kami kekalkan kakitangan tapi kerajaan langsung tak beri sebarang bantuan.

“Sekarang kami timbang untuk tutup satu pusat jagaan, dengan tidak ada bantuan kami tak mampu bertahan.

Jika itu berlaku kakitangan akan hilang kerja, keluarga kanak-kanak autisme juga hilang tempat nak hantar anak mereka. Sekarang timbang nak tutup, kalau dapat bantuan tak tutuplah pusat jagaan.”

Mustaqeem berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, pihaknya menjangkakan 20 keluarga kanak-kanak autisme akan terjejas dan sekurang-kurangnya enam kakitangan terpaksa diberhentikan.

“Kakitangan kita berpengalaman paling kurang lima tahun, kalau mereka hilang kerja kami hilang kakitangan yang mahir.

“Satu pusat jagaan ini walaupun berat kami terpaksa teruskan, jadi kerajaan perlu beri bantuan.

“Bayangkan berpuluh-puluh pusat jagaan tutup, banyak keluarga akan terjejas, sebahagian besar dari keluarga berpendatan rendah. Kalau pusat kami tutup berapa ramai yang akan terjejas.”

– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

Ghazali Yusri Abd Rahman dari Rumah Persatuan Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP), juga mengakui pusat rehabilitisi pertubuhan berkenaan menelan kos yang tinggi untuk diuruskan.

Menurutnya, pusat rawatan yang terletak di USJ, Petaling Jaya itu menguruskan kira-kira 50 kanak-kanak yang mengalami sindrom berkenaan.

“Antara yang sangat diperlukan OKU kategori kami adalah rehabilitasi, kami sediakan rawatan cara gerak kerja dan fisioterapi.

“Dalam keadaan biasa mereka pergi ke pusat rehabilitasi, apabila PKP (dikuatkuasa) rawatan tidak dapat diteruskan dan mereka hanya duduk di rumah,” katanya.

Pertubuhannya juga menjalankan rawatan dan pendidikan secara percuma kepada 50 kanak-kanak yang menghidap sindrom berkenaan.

Walaupun pusat berkenaan tidak beroperasi mereka memerlukan dana untuk menguruskannya memandangkan terdapat peralatan khusus yang digunakan dalam proses rawatan dan pendidikan.

“Memang kalau hari biasa pusat rawatan dibuka ada aktiviti baik sikit. Bagi persatuan kami, dari segi kewangan kalau tiada aktiviti tiada pendapatan. Jadi, susah sikit.

“Kami buat secara percuma untuk ahli dan ada menerima dana sokongan daripada NGO lain, tapi kalau tiada aktiviti, tiada dana,” kata Ghazali.

Tambahnya, pusat rawatan juga tidak boleh beroperasi kerana kanak-kanak yang mengalami sindrom berkenaan terdiri daripada golongan dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Oleh itu mereka amat berharap kerajaan menyalurkan bantuan bagi membolehkan pusat rawatan dan pendidikan ini boleh bertahan.

“Mana-mana kerosakan boleh dibaiki. Dalam pusat rawatan ada banyak peralatan yang perlu diselenggara,” tambah Dr Ghazali.

Katanya, pusat berkenaan memerlukan pembiayaran kira-kira RM8,000 ke RM10,000.

“Kami bukan nak bermewah-mewah, hanya nak selenggara fasiliti yang ada sebab sekarang kami tidak boleh berfungsi,” katanya.

MyCP dan Yayasan Pendidikan Insani antara 22 persatuan berkaitan pendidikan dan jagaan OKU yang menyerahkan surat terbuka meminta bantuan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pertubuhan OKU dari seluruh negara itu mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan insentif khas buat mereka.

Dalam surat tersebut, mereka menegaskan bantuan khusus bagi pusat yang memberi khidmat kepada OKU itu bukan sahaja wajar malah lebih dari itu.

Ini kerana belum ada lagi sebarang insentif khas untuk pusat OKU swasta di dalam pakej rangsangan ekonomi yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

“Pusat OKU swasta juga berusaha keras bagi menyediakan penjagaan, terapi dan pendidikan terbaik kepada anak-anak OKU yang pastinya mempunyai hak terhadap pendidikan yang berkualiti.

“Besar harapan kami agar pihak perdana menteri dan semua pihak berkaitan dapat melihat isu ini dari sudut pandang kami, dan membantu kami mengekalkan punca pendapatan dan menjaga kebajikan mereka yang terjejas pada masa ini,” kata mereka dalam surat berkenaan.

PKP akan kembali berkuatkuasa secara berperingkat mengikut negeri esok, yang akan menyukarkan lagi operasi pusat jagaan dan rehabilitasi OKU ini. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen