PKP 2 minggu tidak memadai, kata KP Kesihatan 


Noel Achariam

Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini berkuatkuasa selama dua minggu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2021.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu tidak memadai untuk menurunkan kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Menurutnya, pihak berkuasa hanya mampu menghalang lonjakan kes sekiranya mereka melanjutkan sekatan kepada empat minggu. 

“Kita perlu kes turun kepada 1,000 atau sekiranya kita mampu turunkan hingga bawah 500 kes barulah kita boleh meletakkan dan merawat pesakit di hospital. 

“Selepas PKP kita boleh mulakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kita menjangkakan untuk meratakan lengkung dalam tempoh lima hingga enam bulan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Pada Isnin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP di enam negeri bermula 13 Januari hingga 26 Januari.

PKP melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Malaysiahari ini merekodkan 2,985 kes baharu Covid-19 yang mana kebanyakan kes dilaporkan di Selangor, Sabah dan Johor - semua negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 837 kes diikuti Johor dengan 535 kes dan Sabah dengan 450 kes.

Noor Hisham berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sejak 14 Oktober, ia tidak memadai untuk mengekang penularan virus.

“Itu sebabnya mengapa kita laksanakan PKP selama dua minggu atau maksimum empat minggu.

“Kita tidak mahu melanjutkan PKP kerana ia memberi kesan ke atas ekonomi. Jadi sekirnaya kita duduk di rumah untuk beberapa minggu ini kita akan dapat meratakan lengkungan.”

Tambahnya, Kementerian Kesihatan akan melihat data ini untuk dua minggu akan datang dan melihat sama ada ia mampu menurunkan kes. – 13 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen