PIHAK berkuasa Mesir hari ini melaksanakan hukuman gantung kepada 15 tahanan yang didapati bersalah dalam serangan terhadap pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai, kata pegawai polis.
Semuanya digantung di dua penjara, tempat di mana mereka ditahan sejak mahkamah tentera menjatuhkan hukuman susulan serangan di Sinai, kawasan yang dilanda pemberontakan pihak pelampau.
Ini adalah pelaksanaan hukuman secara besar-besaran yang dilakukan di negara Afrika Utara sejak enam pelampau yang disabitkan dihukum gantung pada 2015.
Hukuman itu seminggu selepas kumpulan militan Islamic State (IS) menyerang sebuah helikopter dengan peluru berpandu anti kereta kebal di lapangan terbang Sinai Utara ketika lawatan menteri pertahanan dan menteri dalam negeri.
Walaupun kedua-dua menteri tidak mengalami sebarang kecederaan, ia menyebabkan pembantu menteri pertahanan dan seorang juruterbang terbunuh.
Sekutu IS Mesir telah membunuh ratusan anggota polis dan tentera dalam serangan di Sinai, dan juga mensasarkan orang awam di tanah besar.
Mahkamah Mesir menjatuhkan ratusan hukuman mati sejak tentera berjaya menjatuhkan presiden Mohamed Morsi pada 2013.
Bagaimanapun, kebanyakan defendan merayu dan memenangi perbicaraan semula.
Mesir bergelut untuk mengalahkan pihak pelampau di Sinai.
Walaupun serangan semakin berkurangan, mereka meningkatkan sasaran kepada penduduk awam sejak setahun lalu.
Bulan lalu, disyaki IS bersenjata menembak lebih 300 jemaah di sebuah masjid di Sinai yang dikaitkan dengan Muslim Sufi, yang dianggapIS sebagai sesat.
Mereka membunuh lebih 100 penganut Kristian dalam kejadian pengeboman gereja dan serangan tembakan sejak Disember tahun lepas.
Selepas pembunuhan di masjid, Presiden Abdel Fattah el-Sisi mengarahkan ketua tenteranya menghentikan serangan itu dalam tempoh tiga bulan dengan menggunakan “kekerasan”. – AFP, 26 Disember, 2017.
Komen