SKMM dan KKMM harus berterus-terang mengenai akaun Twitter @SKMM_MCMC


SEMALAM netizen telah mendedahkan beberapa ciapan yang dihantar oleh akaun rasmi dan disahkan (verified) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu @SKMM_MCMC pada sekitar 2013-2014 yang lucah, sumbang, mengancam dan/atau jelik sifatnya1 .

Ciapan-ciapan ini bercanggah dengan saranan SKMM sendiri melalui kenyataan media bertarikh 12 Januari 2021 supaya orang ramai ‘jaga kesopanan dan kesusilaan’ apabila berinteraksi di media sosial.

Selepas pendedahan tersebut, SKMM telah menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu. SKMM juga mendakwa bahawa akaun itu telah ‘diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab’.

Akan tetapi, dakwaan ini tidak munasabah, kerana ciapan-ciapan lucah, sumbang, mengancam dan/atau jelik sifatnya itu dibuat beberapa tahun lepas, dan sekiranya akaun tersebut diceroboh sekalipun, adalah mustahil untuk ‘back-date’ mana-mana ciapan.

Pada masa yang sama, seorang pengguna media sosial @NazruiHakim telah mendakwa bahawa akaun SKMM itu asalnya akaun peribadinya yang kemudian telah dijual beberapa tahun yang lepas kepada seseorang semasa akaun tersebut mempunyai 50,000 pengikut2.

Dakwaan @NazruiHakim ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajar dijawab:

a. Pertama, adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

b. Kedua, sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?

c. Ketiga, sekiranya ia diambil alih, adakah benar terdapat bayaran yang terlibat?

d. Keempat, adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar?

e. Kelima, jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan Kerajaan yang betul dan telus?

7. Isu ini melibatkan sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa yang meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan juga interaksi sosial orang awam di atas talian.

Oleh itu, persoalan-persoalan ini harus dijawab oleh SKMM dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Pihak SKMM dan KKMM digesa untuk berterus-terang mengenai akaun Twitter @SKMM_MCMC. – 13 Januari, 2021.

* Syahredzan Johan merupakan peguam dan juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen