Darurat bawa keuntungan politik dan pasaran, kata ahli ekonomi


Bernard Saw

Dengan memastikan kestabilan politik, keyakinan pelabur juga akan stabil, kata penasihat ekonomi Kinglsley Strategic Institue, Ho Kee Ping. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Januari, 2021.

DARURAT yang dikenakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos boleh menstabilkan iklim politik Malaysia, yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi dan keyakinan pelabur, kata ahli ekonomi.

Selain hujah mengenai jatuhnya demokrasi, mereka berkata perintah darurat akan menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional ketika kerajaan kehilangan sokongan Umno.

Pengkritik mendakwa atas alasan inilah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin berkata darurat diisytiharkan bagi membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19, tetapi sebelum itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dikuatkuasakan di enam negeri yang terjejas teruk akibat Covid-19 pada malam Isnin sebelum darurat diumumkan.

Dengan memastikan kestabilan politik, keyakinan pelabur juga akan stabil, kata penasihat ekonomi Kinglsley Strategic Institue (KSI) Ho Kee Ping.

Ucapan perdana meneri seharusnya membantu mengembalikan keyakinan pasaran dan juga saham serta pertukaran asing dan pasaran bon.

“Selagi ada kestabilan, tidak akan ada yang panik di pasaran modal. Ringgit hari ini hanya turun sedikit dan tidak ada penjualan panik atau penurunan mendadak,” katanya.

Mata wang ringgit bernilai RM4.072 untuk sedolar AS selepas pengumuman darurat dibuat, berbanding RM4.061 semasa ditutup Isnin.

Sehingga petang Selasa Muhyiddin telah hilang sokongan daripada dua ahli Parlimen Umno – Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz.

Difahamkan lebih ramai ahli Parlimen Umno akan mengikut jejak langkah dua pemimpin berkenaan ketika perselisihan antara parti itu dan Bersatu semakin mendalam, walaupun kedua-duanya berada dalam kerajaan.

Ho berkata PN yang dipimpin oleh Bersatu telah berdepan empat insiden besar yang menggoncang kestabilan mereka sejak mengambil alih kuasa dari Pakatan Harapan pada Mac tahun lalu.

Sebelum itu, kerajaan PN sejak awal penubuhannya berdepan cabaran apabila pelantikan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dicabar di mahkamah, diikuti Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan pada September, kemudian ketidakpastian sama ada Belanjawan 2021 diluluskan atau tidak pada Disember lalu.

“Bagaimanapun, perintah darurat akan menghalang sebarang risiko yang mungkin timbul,” kata Ho.

Tambah beliau, sebuah kerajaan yang stabil akan memastikan ekonomi pulih, menerusi permintaan terhadap eksport utama Malaysia seperti sarung tangan getah, balak dan minyak sawit.

Harga minyak mentah juga dijangka terus meningkat, yang akan menambah hasil pendapatan Petronas dan juga kerajaan.

“Suku kedua tahun dijangka jauh lebih baik. Prestasi ekonomi domestik mungkin tidak bagus dalam tempoh dua hingga empat minggu pertama tahun ini disebabkan PKP, tetapi rakyat berbelanja semula selepas itu.” – 14 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen