Vaksin Covid-19 China tunjuk 50% keberkesanan di Brazil


Gabenor Sao Paulo Joao Doria memegang vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh syarikat China Sinovac Biotech, di Hospital das Clinicas di Sao Paulo, Brazil, pada 21 Julai 2020. – Gambar AFP, 13 Januari, 2021.

VAKSIN Covid-19, Coronavac yang dibangunkan oleh China menunjukkan keberkesanan 50% susulan ujian di Brazil, kata organisasi yang bertanggungjawab bagi pengeluarannya di negara Amerika Selatan itu pada Selasa.

Coronavac diberikan kepada petugas rawatan kesihatan baris hadapan yang berhubungan rapat dengan pesakit koronavirus.

Institut Butantan mengulangi dakwaannya sejak minggu lalu yang vaksin adalah 78% berkesan untuk mencegah kes ringan yang memerlukan rawatan dan menunjukkan keberkesanan 100% mencegah kes sederhana hingga serius.

Secara keseluruhan, ia berkesan 50% untuk mencegah pesakit daripada dijangkiti penyakit ini, termasuk kes yang sangat ringan, walaupun tidak bergejala.

“Ini adalah vaksin yang selamat dan berkesan untuk membenarkan penggunaannya dalam keadaan kecemasan,” kata Pengarah Butantan, Dimas Covas.

Ujian yang dijalankan terhadap 12,500 sukarelawan, tidak menghasilkan kesan buruk atau reaksi alahan yang ketara.

“JIka vaksin dapat bertahan dalam ujian ini, ia akan berkesan jauh lebih baik pada peringkat komuniti,” kata Ricardo Palacios, pengurus perubatan untuk ujian klinikal di Butantan, yang dimiliki oleh negeri Sao Paulo dan merupakan pengeluar vaksin terbesar di Amerika Latin.

Walaupun vaksin mencapai sasaran keberkesanan minimum 50% yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia, ia jauh di belakang vaksin lain yang dihasilkan oleh Moderna (94%) dan Pfizer/BioNTech (95%).

Jumaat lalu, Butantan memohon kebenaran vaksin pertama kepada badan pengawas kesihatan Brazil, Anvisa.

Ia diikuti hanya beberapa jam kemudian permohonan daripada pembuat vaksin AstraZeneca/Oxford.

Brazil mencatatkan lebih 203,000 kematian akibat Covid-19 dan lebih 8 juta kes di kalangan 212 juta penduduknya.

Sejak November ia menyaksikan gelombang jangkitan kedua.

Negeri Sao Paulo dijadualkan mulai mengimunisasi 12 juta warganya bermula 25 Januari. 

Beijing sudah menghantar 10.7 juta dos Coronavac dan bekalan yang diperlukan untuk membuat 40 juta dos lagi.

Bagaimanapun, kementerian kesihatan belum mengumumkan bila ia akan melancarkan program imunisasi di seluruh negara. – AFP, 13 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen