Terpulang jika mahu hantar anak ke tadika swasta, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Pendidikan Radzi Jidin tadika swasta dibenarkan beroperasi walaupun tadika kementerian diarah tutup kerana PKP yang dilaksana kali ini lebih longgar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

TERPULANG kepada ibu bapa untuk menghantar anak ke tadika swasta yang dibenar beroperasi di negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Katanya, tadika swasta berkenaan dibenarkan beroperasi walaupun tadika kementerian diarah tutup kerana PKP yang dilaksana kali ini lebih longgar.

Jelasnya, penguatkuasaan kali ini berbeza dengan pelaksanaan pada Mac lalu yang menyaksikan banyak sektor ekonomi ditutup.

“Jika kita lihat PKP dilaksanakan hari ini berbeza dengan diadakan sebelum ini (Mac) PKP pada Mac lebih ketat ektor ekonomi tak dibuka.

“Tapi PKP ini ada yang perlu bekerja maka kita benar tadika kawasan PKP dibuka

“Berkaitan kerunsingan ibu bapa kita serah pada ibu bapa tapi dalam konteks keperluan maka tadika dibenarkan dibuka,” katanya dalam sidang media yang disiarkan langsung petang ini.

Beliau menjawab kekeliruan yang timbul ekoran keputusan kementerian membenarkan operasi tadika swasta secara bersemuka sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP yang bermula pada esok.

Ia turut menimbulkan pendebatan dan dilema kepada ibu bapa yang bimbang mengenai keselamatan anak mereka ketika pandemik Covid-19.

Jelasnya, lagi, operasi tadika bawah seliaan kementerian pula ditetapkan mengikut takwim sekolah dan pelaksanaan berbeza mengikut kawasan.

“Untuk tadika kerajaan pula, masih tidak dibuka kerana mengikut takwim persekolahan kerana sekarang sekolah masih ditutup,” katanya.

Tambahnya, sesi persekolahan bermula 20 Januari namun tertakluk kepada kategori PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jelasnya lagi, semua sesi persekolahan secara bersemuka diwajibkan bagi semua sekolah di kawasan PKPB dan PKPP.

Bagi sekolah di negeri bawah PKP pula, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan akhir perlu menjalani sesi persekolahan secara bersemuka, katanya.

Tambahnya pagi pelajar yang tidak menduduki peperiksaan penting sesi pembelajaran akan dijalankan di rumah.

Oleh itu sesi persekolahan bagi kawasan PKPB dan PKPP akan dijalankan seperti biasa biarpun termasuk dalam kategori kawasan merah.

“Selagi namanya PKPB atau PKPP  maka itulah kaedahnya. Kita tak kelirukan. Itu merupakan kerangka asas supaya lebih mudah difahami,” katanya.

Ditanya mengenai kapasiti yang dihadkan dalam setiap kelas, beliau berkata ia bergantung kepada  penjarakan fizikal.

“Penjarakan fizikal kita tak tetap berapa jumlah murid seperti SOP sebelum ini. Ia berdasarkan penjarakan fizikal (murid) tersebut,” katanya.

Kawalan dikuatkuasa semula secara berperingat dengan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah – untuk 14 hari.

Pergerakan rentas negeri dilarang sepanjang tempoh itu di seluruh Malaysia dan pergerakan rentas negeri juga disekat di kawasan PKP.

PKPB pula dimulakan di enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk tempoh sama.

PKPP pula dikuatkuasa di Perlis dan Sarawak. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen