Belasungkawa: Mengenang karyawan berani Shahnon Ahmad


Yasmin Ramlan

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan yang menghadiri solat jenazah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Disember, 2017.

PARA penulis dan sasterawan tempatan mengenang Allahyarham Shahnon Ahmad yang meninggal dunia hari ini sebagai karyawan yang berani dan pengkritik sosial luar biasa.

Pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara, yang tidak akan dapat dicari gantinya, menurut karyawan yang dihubungi The Malaysian Insight.

Penulis dan dramatis Faisal Tehrani berkata, sasterawan negara itulah yang memberi galakan kepadanya untuk melawan tindakan kerajaan mengharamkan karyanya.

“Arwah lebih dikenali dengan Cikgu Shahnon oleh pelajar-pelajar dia. Sewaktu belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), saya pernah menginap di rumah beliau. 

“Jadi saya mengenali keluarga beliau termasuk isteri beliau – Mak Wan sejak daripada dulu dan boleh dikatakan pengaruh beliau sangat besar dalam diri saya,” kata pensyarah itu lagi.

Faisal menghargai tunjuk ajar gurunya itu, yang mengajar menulis dengan berani.

Faisal Tehrani menghargai segala jasa dan tunjuk ajar Shahnon Ahmad untuk menjadi seorang penulis yang berani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2017.

“Saya masih ingat waktu ‘Shit’ dihebohkan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sangat berani mendiskusi novel itu dalam bilik senat.

“Saya masih ingat dan Cikgu Shahnon hadir waktu itu. USM pun tak pertahankan beliau dan karya tersebut,” kata Faisal.

Ketika beliau bergelut dengan isu undang-undang ekoran perintah pengharaman bukunya, Faisal akan merujuk kepada Shahnon.

“Setiap kali berjumpa, beliau masih banyak membaca lagi. Beliau masih lagi tajam (pemikiran) dalam usia 80-an.”

Setaraf Pramoedya

Aktivis teater A Wahab Hamzah pula menyifatkan Allahyarham sebagai sasterawan besar yang mengangkat realiti masyarakat melalui karyanya.

“Tiga novel awalnya cukup hebat iaitu ‘Rentong’, kisah pergolakan masyarakat desa yang mahukan pembangunan dan masalah tanah. 

“Novel keduanya, ‘Terdedah’ mengangkat hipokrasi sebahagian masyarakat kota dan novel terkenalnya ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ mengangkat penderitaan masyarakat desa yang hidup dalam tradisi,” kata A Wahab.

Tambahnya, karya tersebut hebat kerana mengangkat persoalan masyarakat berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan kesedaran yang mendalam dalam diri Shahnon.

Novel “Ranjau Sepanjang Jalan” pernah diangkat ke filem yang diarahkan oleh Jamil Sulong pada 1983 dengan judul yang sama, menampilkan pelakon Ahmad Mahmud dan Sarimah sebagai Lahuma dan Jeha. Novel itu juga diadaptasi ke filem dalam bahasa Kemboja dengan judul “Rice People” pada 1994.

A Wahab gemar pada olahan Shahnon yang menggunakan dialek masyarakat desa dan pengulangan ayat yang menjadi identiti penulisan sasterawan besar itu.

Katanya lagi, Shahnon merupakan pengkritik sosial yang tajam dan sikap itu terpancar dalam sikap watak-watak dalam novelnya.

“Beliau mengkritik masyarakat desa dalam ‘Rentong’ dan ‘Ranjau’. Beliau mengkritik orang politik dan sikap mual politik dalam Shit,” kata A Wahab lagi.

“Rentong” (1965) merupakan novel pertama yang dihasilkan Shahnon, dan seterusnya “Ranjau Sepanjang Jalan” (1966), diikuti “Menteri” (1967). Beliau mengarang 15 lagi novel, diakhiri dengan “Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi” (2003).

Salah satu saat penting yang disaksikan A Wahab adalah ketika Shahnon berdebat dengan seorang lagi sasterawan, Kassim Ahmad pada sekitar 1980-an.

Kassim baru sahaja mendahului Shahnon ke negeri abadi, dua bulan lalu.

“Debat Shahnon dan Kassim sekitar sastera Islam dalam Dewan Sastera adalah debat sastera dan ilmiah yang membuka pemahaman kita tentang persoalan di sekitar sastera dan agama. Ia adalah debat yang cukup menarik.

“Shahnon meninggalkan kita khazanah sastera yang mengangkat persoalan masyarakat bawahan, desa dan buruh yg berdepan dengan kerakusan kapitalisme, pembangunan komersil dan pemodenan yang mengenepikan adat budaya, agama dan nilai kemanusiaan,” kata A Wahab.

Beliau menganggap Shahnon sebagai pemimpin besar dalam gerakan sastera negara, setaraf dengan Pramoedya Ananta Toer di Indonesia.

Tinggal Al-Arqam demi kasih isteri

Seorang lagi penulis prolifik, Zainal Rashid Ahmad turut berpeluang menjadi anak didik Shahnon ketika menuntut di USM. Beliau menganggap Shahnon sebagai pendidik sejati yang tidak mengajar soal ilmu sahaja.

“Beliau mendidik soal nilai. Ketika mengajar saya dalam Penulisan Kreatif di USM pada tahun 91/92, beliau mengingatkan: Sastera tidak mendidik orang, sastera mendidik penulisnya dengan nilai yang dijadikan asas atau falsafah ketika menulis,” kata Zainal.

Menurutnya lagi, beliau banyak meluangkan masa bersama Shahnon, yang dibahasakannya sebagai Pak Shahnon.

“Walaupun sudah cenderung kepada pembangkang, tidak sepatah pun beliau mempengaruhi pelajarnya (untuk menyertai pembangkang). Beliau menumpukan pada asas tanggungjawabnya iaitu mengajar proses kreatif untuk menjadikan sebuah karya prosa itu hebat,” tambah Zainal.

Shahnon juga diingatinya sebagai seorang yang romantis dan cukup sayang pada isteri, Wan Fatimah Wan Salleh.

Zainal mengakui itulah juga nilai yang cuba diterapkan oleh Shahnon kepadanya.

Malah, Shahnon sanggup keluar daripada gerakan Al-Arqam demi cintanya pada isteri, kata Zainal lagi.

“Dalam satu pertemuan peribadi di pejabatnya di Pusat Islam USM, Pak Shahnon mengingatkan saya: Apabila kamu kahwin dan punya isteri, hargai isteri. Selalu ingat jasa isteri.”

“Beliau menyebut soal demikian ketika saya bertanya mengenai isu mengapa beliau meninggalkan Al Arqam. 

“Beliau menjawab dengan mengatakan antara sebab utama ialah, beliau menolak poligami kerana sangat menyintai isterinya. Malah, sangat mengenang pengorbanan isterinya ketika membantu dirinya sewaktu belajar,” kata Zainal.

Balu Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Wan Fatimah Wan Salleh yang bersedih ketika ditemui pada majlis pengkebumian suaminya di Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Disember, 2017.

Ranjau sepanjang jalan hidupnya

Sementara itu, bekas menteri dan pengarang akhbar, Zainuddin Maidin pula mengenang Shahnon sebagai seorang yang berterus-terang.

“Beliau tiada sembunyikan tentang kehidupannya. Apa juga beliau tidak sembunyikan kepada saya. Karyanya bersifat kerakyatan dan bersifat protes serta memahami situasi yang sebenar. 

“Apa yang ditulis adalah berdasarkan pengalamannya – ranjau sepanjang jalan dan pengalaman hidupnya.

“Beliau memahami masalah orang kampung, menghayati dan dapat melihat sifat-sifat orang kampung yang orang lain tak begitu faham,” kata Zainuddin.

Tambahnya, pemergian Shahnon merupakan satu kehilangan selepas menghasilkan karya yang menggemparkan dan membawa protes yang besar.

“Sukar (untuk mencari generasi baru seperti beliau),” kata Zainuddin lagi.

Jenazah Shahnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini. 

Shahnon, 84, meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang akibat pneumonia kira-kira 7.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isterinya Wan Fatimah, 82, tiga anak berumur antara 54 hingga 58 tahun, 14 cucu serta tiga cicit. – 26 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen