Guru wanita rugi RM27,000 ditipu Macau Scam 


SEORANG guru kerugian RM27,000 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’, yang mengatakan kononnya mangsa terlibat dalam kegiatan penyelewengan wang dan sindiket dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata, mangsa iaitu wanita berusia 38 tahun dari Sungai Petani, pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali, semalam.

“Suspek telah memperkenalkan diri sebagai ‘Noraini Haji Daud’ yang mengaku sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Cyberjaya, Selangor dan memberitahu bahawa nama mangsa dipercayai telah disalahgunakan individu lain dalam pendaftaran sebuah syarikat di Kuantan, Pahang.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada suspek lain yang mendakwa sebagai anggota Polis di Kuantan, yang seterusnya menyoal siasat mangsa sebelum memberitahu bahawa mangsa telah terlibat dalam kegiatan penyelewengan wang dan sindiket dadah,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Katanya, suspek telah mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari empat akaun Tabung Haji milik keluarga mangsa ke dalam dua akaun bank milik mangsa, sebelum meminta butiran perbankan akaun tersebut.

“Penipuan ini mula disedari oleh mangsa apabila semakan akaun bank dibuat dan mendapati wang berjumlah RM27,000 di dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis di Sungai Petani pada hari yang sama, dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama, 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen