Muhyiddin akui hilang majoriti apabila isytihar darurat, kata ahli Parlimen Umno


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui hilang majoriti apabila mengisytiharkan darurat hari ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa beliau sudah hilang sokongan majoriti apabila mengisytiharkan darurat hari ini, kata Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata tidak ada keperluan darurat kerana Putrajaya sudah meletakkan negara di bawah pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan bagi memerangi wabak Covid-19.

“Dengan mengisytiharkan darurat, dia mengakui kekalahan. Apa perlunya mengisytiharkan darurat ketika ada perintah kawalan pergerakan.

“Dia hilang majoriti yang bermaksud pilihan raya mesti diadakan. Tetapi dia meminta darurat. Ini seperti darurat politik.

“Saya tidak mahu PRU diadakan segera. Kami hanya ingin memberitahu, kerajaan sudah runtuh. 109 sekarang,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti hari ini. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan permohonan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos.

Muhyiddin berkata darurat itu bertujuan memberi kerajaan lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19.

“Parlimen akan ditangguhkan semasa darurat dan tidak akan ada pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri serta nasional,” kata Muhyiddin dalam siaran langsung di televisyen hari ini.

Ketika dalam keadaan darurat, kerajaan diberi kuasa untuk menggubal undang-undang baharu bagi memerangi wabak ini dengan lebih efektif.

Muhyiddin menafikan beliau menggunakan darurat untuk terus berkuasa selepas hilang sokongan majoriti minggu ini.

“Darurat ini bukan rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilakukan.

“Kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa,” katanya. 

Nazri berkata beliau menjangkakan sekurang-kurangnya dua lagi ahli Parlimen Umno akan menarik sokongan terhadap Muhyiddin tidak lama lagi.

Beliau yakin bahawa Umno dengan sokongan PAS boleh memenangi pilihan raya akan datang.

“Kami yakin dengan PAS kami boleh menang. Kita akan berdepan pilihan raya sebagai Muafakat Nasional, BN dan PAS. Kita boleh berbincang kemudian untuk bekerja dengan DAP,” katanya.

Nazri berkata beliau boleh menunggu pilihan raya umum tidak kira berapa lama Muhyiddin akan menangguhkannya.

“Saya boleh menunggu enam bulan, tidak ada masalah. Anda boleh lari, lari dan lari tetapi anda tidak boleh berlari sepanjang masa,” katanya. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen