Bot laju di Pulau Pinang bom jangka lonjakan kes Covid-19


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat pelaksanaan sistem pengangkutan bot laju di Pulau Pinang dilakukan tanpa menimbangkan pelbagai faktor penting yang akan menyusahkan  penumpang  pejalan kaki.

Paling membimbangkan ketiadaan langkah penjarakan sosial diambil bagi keseluruhan proses perjalanan, dari bot laju ke bas shuttle yang diatur untuk mengangkut penumpang ke stesen bas di Weld Quay.

Perkara ini memeranjatkan dan tidak dapat diterima sama sekali berikutan peningkatan besar kes Covid-19 dalam komuniti yang negara  sedang alami di tengah kemelut jangkitan Gelombang Ketiga yang lebih berbahaya.

Di dalam bot laju, penumpang harus duduk sebelah menyebelah atau berdekatan antara satu sama lain dalam ruang yang tertutup dan berhawa dingin.

Dalam persekitaran sebegini, penularan penyakit bawaan udara, termasuklah Covid-19, akan menjadi lebih tinggi berbanding feri lama yang terbuka dengan pengudaraan yang baik.

Malah feri lama mengambil langkah penjarakan sosial (tempat duduk dan lantai yang bertanda untuk mengelak kontak rapat ketika duduk dan beratur), langkah penting yang tidak dilaksanakan di dalam bot laju.

Bot laju juga tidak mempunyai SOP penjarakan sosial apabila penumpang bot laju kemudian harus beratur dan menaiki bas shuttle yang  diatur untuk membawa mereka ke stesen bas Weld Quay.

Bas shuttle sentiasa padat dengan penumpang, yang perlu menunggu di dalam bas  sebelum bas bergerak kerana ia mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Ini menambah risiko jangkitan kepada penumpang.

Bot laju juga menyulitkan penumpang yang berbadan besar kerana semua tempat duduk cuma berukuran 40 cm lebar.

Selain itu, pelbagai halangan di sepanjang jalan dan terpaksa berjalan  jauh untuk sampai ke tempat masuk atau keluar dari terminal selepas turun dari bot laju, menambah masalah sedia ada.

Sungguhpun mereka yang berkerusi roda dilaporkan akan dibantu masuk ke dalam bot oleh pembantu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), kedua-dua terminal – Jeti Swettenham di George Town dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth – tidak mematuhi Kod Amalan Standard Malaysia bagi Akses Orang Kurang Upaya (MS) seperti yang ditetapkan ke atas semua stesen pengangkutan awam.

Syarat sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu kerana Akta Orang Kurang Upaya 2008 menekankan bahawa orang yang kurang upaya (PWD) mempunyai hak yang sama untuk akses dan menggunakan fasiliti, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam.

PWD sebenarnya mampu bergerak sendiri kemana-mana tetapi apabila terdapat halangan seperti tangga  dan ramp yang curam, mereka terpaksa mendapatkan bantuan dari pembantu di jeti. Ini seolah-olah merendahkan kemampuan mereka.

Cuma bangunan Jeti Swettenham mempunyai eskalator namun penumpang masih akan basah kuyup jika hari hujan kerana laluan pejalan kaki yang tidak berbumbung dari pintu pagar ke bangunan utama. Kanopi mesti dipasang antara pintu pagar dan bangunan Jeti Swettenham.

Tambahan pula, jaraknya agak jauh antara pintu masuk ke terminal feri ke tempat menaiki bot laju pada kedua-dua belah bahagian Pulau Pinang.

Bagi penumpang yang membawa bagasi pula, mereka terpaksa mengangkatnya ketika menaiki tangga, ramp yang curam, laluan jalan kaki yang sempit, dan terpaksa melangkah benteng untuk ke dek.

Adakah bot laju berkenaan hanya akan digunakan ketika tempoh interim antara “persaraan” feri lama dengan menunggu ketibaan katamaran pada pertengahan 2021?  Jika benar, kenapa feri yang sedia ada tidak digunakan untuk tempoh enam bulan lagi?

Malah pada ketika itu, bagaimanakah laluan penumpang ke terminal hendak dibuat? Adakah lif (cukup besar untuk memuatkan kerusi roda) akan dipertimbangkan?

Di sebalik bergantung kepada van untuk menghantar mereka yang kurang upaya, wanita hamil atau mereka yang mempunyai bagasi yang berat ke bot, kenapakah PPC tidak menimbangkan untuk memasang lif kerana ia boleh digunakan dalam jangka panjang bagi terminal tersebut.

Selain itu, bas shuttle percuma yang biasanya berulang-alik antara stesen Weld Quay ke Komtar perlu disediakan di Jeti Swettenham untuk mengurangkan rasa tidak selesa penumpang, terutama apabila mereka tergesa-gesa untuk ke tempat kerja.

Amat dikesalkan isu feri ditangani secara melulu tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna feri, terutama yang membabitkan soal keselamatan mereka dalam situasi Covid-19 semasa yang kian memburuk. – 12 Januari, 2021.

* Mohideen Abdul Kader ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen