Muhyiddin jamin adakan pilihan raya selepas darurat


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beri jaminan pilihan raya umum akan diadakan selepas darurat tamat apabila Malaysia pulih dari pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan pilihan raya umum akan diadakan selepas darurat tamat apabila Malaysia pulih dari pandemik Covid-19.

Katanya, beliau tidak berniat untuk menghalang pilihan raya tersebut, tetapi ia tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana jangkitan virus tersebut masih lagi serius.

“Pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja jawatankuasa (yang akan ditubuhkan) dapati pandemik reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat diadakan.

“Ini komitmen dan janji saya yang akan ditunaikan. Insya Allah,” katanya dalam pengumuman langsung mengenai proklamasi darurat yang akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos.

Pada masa sama, Muhyiddin memberi jaminan pengadilan di mahkamah akan diteruskan sewaktu darurat dan kerajaan tidak akan mencampuri urusan mahkamah.

“Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus  berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak  akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah,” katanya.

Pendakwaan yang masih diteruskan (PN) ke atas pemimpin Umno pada waktu ini merupakan antara isu yang dibangkitkan kalangan ketua parti itu untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.

Ia menyebabkan kedudukan Muhyiddin pada waktu ini dilaporkan genting apabila para pemimpin Umno mengalih sokongan dan mendesak agar pilihan raya diadakan segera.

Kerajaan PN pimpinannya kini hanya menguasai sokongan 110 ahli Parlimen. Beliau perlu mendapat majoriti sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Machang dari Umno Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin dan Majlis Tertingi parti itu juga meluluskan usul untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu.

Yang di-Pertuan Agong pada Oktober menolak permohonan mengisytihar darurat sewaktu kalangan ahli Parlimen berusaha mengemuka usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Al-Sultan Abdullah juga mengarahkan semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung pada bulan berikutnya.

Muhyiddin mempersembah cadangan untuk mengisyithar darurat pada waktu itu sewaktu pemimpin Umno dilapor menyokong Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan.

Seterusnya, Muhyiddin mempersembahkan cadangan mengisytihar darurat semula bagi menangguhkan pelaksanan pilihan raya kecil susulan kematian beberapa wakil rakyat.

Al-Sultan Abdullah kemudian pada 18 November mengumumkan perkenan mengisytiharkan proklamasi darurat untuk kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Seterusnya pada 16 Disember baginda mengumumkan perkenan proklamasi darurat serupa untuk kawasan Parlimen Gerik di Perak serta kawasan DUN Bugaya di Sabah. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen