Rakyat Malaysia bekerja di Singapura tidak pulang sambut Tahun Baharu Cina


Angie Tan

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 12 dan 13 Februari depan. Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa memilih tidak pulang ke tanah air meraikannya kerana kos terlalu tinggi dan perlu kuarantin. – Gambar AFP, 12 Januari, 2021.

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura tidak bercadang untuk pulang ke tanah air bagi meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini, susulan keadaan pandemik Covid-19 masih teruk dan kos kuarantin yang mahal.

Mereka yang ditemubual berkata kos dan masa yang terpaksa dihabiskan untuk kuarantin menyebabkan mereka memilih untuk bekerja, dan pada masa sama kesibukan di tempat kerja buat mereka melupakan kesedihan terpisah daripada keluarga.

Wong Wai Theng, 35, yang bekerja dalam industri pengangkutan berkata abangnya yang juga berada di Singapura, memujuknya untuk tidak pulang.

“Abang saya bimbang nanti susah untuk masuk semula ke Singapura dan menasihati saya supaya tidak pulang ke kampung. Jadi saya akan tunggu hingga vaksin tiba di Malaysia dulu sebelum buat rancangan apa-apa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kampung Wong di Pulau Pinang, dan beliau tinggal di Johor Bahru. Sebelum ini, beliau akan berulang-alik setiap hari. Tetapi beliau tidak pulang ke rumahnya di Johor Bahru sejak 17 Mac tahun lalu, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Masa itu saya fikir sempadan akan tutup 14 hari saja. Saya ingat lagi, saya seberang tambak dalam keadaan menangis, keliru dan seperti orang tidak ada hala tuju.”

Keadaannya yang terpisah daripada keluarga, termasuk teman wanitanya, bertambah buruk apabila beliau menghidapi demam denggi pada Jun tahun lalu dan dikuarantin selama seminggu selepas dibenarkan keluar hospital.

Pekerja warga Malaysia di Singapura tidak bercadang untuk pulang ke tanah air bagi meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini, susulan keadaan pandemik Covid-19 masih teruk. – Gambar EPA, 12 Januari, 2021.

Wong terpaksa menangguhkan banyak perancangan hidupnya, termasuk perkahwinannya dengan teman wanitanya.

“Saya sudah dua tahun tidak menziarah ibu bapa saya. Pandemik ini menyedarkan saya bahawa saya perlu menghargai setiap saat yang ada dan orang di sekeliling saya.”

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 12 dan 13 Februari depan.

Sempadan antara Singapura dan Malaysia kekal ditutup kepada orang ramai dan pelancongan.

Sejak Ogos tahun lalu, penduduk kedua-dua negara yang mempunyai visa kerja dan perniagaan jangka panjang dibenarkan merentas sempadan bagi tujuan pekerjaan.

Setakat 11 Januari, rakyat Malaysia yang mempunyai status penduduk tetap yang bekerja di Singapura dibenarkan memohon Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang ke Malaysia.

Walaupun boleh membuat permohonan perjalanan di bawah PCA, Eng Kok Siang, 40, yang bekerja dalam industri pembelian berkata, kos untuk ujian Covid-19 dan kuarantin di hotel mencecah RM8,000.

“Sejumlah 24 hari kuarantin diperlukan, pergi dan balik, tidak termasuk cuti di rumah. Cuti tahunan saya tidak cukup untuk saya pulang.”

Eng hanya bergantung kepada panggilan video untuk berhubung dengan keluarnganya. Selagi tidak ada keperluan kecemasan, katanya beliau tidak bercadang untuk pulang ke kampung.

“Lebih baik kekal di sini dan bekerja memandangkan keadaan pandemik di Malaysia bertambah buruk,” katanya.

Ini kali pertama beliau akan berada di Singapura ketika sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi keadaan penularan koronavirus sudah pun menyebabkan beliau bersedia secara mental untuk meraikan perayaan itu di perantauan.

“Dari Ogos hingga September tahun lalu, kita melihat wabak itu berlaku berulang kali di Malaysia, begitu juga dengan keadaan gelombang ketiga.

“Jadi, saya bersedia secara mental. Selagi ada kerja di sini, saya mesti teruk kekal di Singapura. Rakan-rakan lain dari Malaysia yang berada di Singapura juga berfikiran yang sama,” katanya. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen