Perlu anjakan minda dalam tangani Covid-19 secara berkesan


PERINTAH Perintah Kawalan Pergerakan harus menjadi pilihan terakhir. Sebarang tindakan mengumumkan PKP sekarang akan kelihatan seperti suatu reaksi spontan semata-mata.

Walaupun pemberian vaksin berjaya dijalankan, Covid-19 akan tetap berada dalam kalangan kita untuk sekurang-kurangnya 9 ke 18 bulan lagi. Semua pihak harus dimaklumkan tentang hakikat ini supaya mereka boleh membuat persediaan tanpa merasa panik atau terburu-buru.

Modus operandi Kementerian Kesihatan (KKM) yang menumpukan kepada angka harian Covid-19 adalah tidak begitu bermakna. Angka ini hasil bilangan saringan yang dilakukan. Jika lebih banyak saringan dan jejakan kontak rapat dilakukan, angkanya akan lebih tinggi dan mencerminkan hakikat situasi semasa.

Obsesi KKM terhadap angka kes harian adalah petunjuk KPI yang salah.

Daripada membimbangi bilangan kes yang tinggi, kita patut bimbang kenapa KKM tidak menjalan saringan yang mencukupi dan tidak mempunyai sistem menjejak kontak rapat yang berkesan.

Walaupun berdepan 2,000 kes harian secara purata, saya percaya bahawa bilangan kes yang dilaporkan adalah jauh lebih rendah berbanding angka sebenar; akibat saringan dan penjejak kontak rapat yang terhad.

KKM harus menolak pemikiran bahawa hanya pesakit yang bergejala saja perlu disaring. Kita perlu menyediakan sistem saringan untuk kemudahan awam seboleh mungkin di mana kesemua kontak rapat lapisan kedua boleh mendapatkan ujian saringan jika mereka mahu.

Bukan saja mereka yang berhubungan terus dengan kes positif Covid-19.

Kita juga wajar melakukan ujian saringan besar-besaran ke atas seramai mungkin banduan dan pekerja asing yang menetap di dormitori-dormitori sesak. Dua sumber utama kes positif ini wajar diberikan keutamaan bagi mengawal penularan wabak terbabit.

Hasil ujian PCR sepatutnya boleh disediakan dalam tempoh 24 jam.

Ujian antigen sepatutnya disediakan pada harga berpatutan dan digalakkan penggunaan seluas mungkin.

Sektor kesihatan swasta wajar dilibatkan secara besar-besaran dalam memperluaskan usaha saringan dengan pantas dan pada harga yang berpatutan untuk orang awam.

Lebih banyak ujian saringan bererti kita akan menyaksikan angka yang tinggi buat suatu tempoh. Kita tidak perlu bimbang. Adalah lebih baik bagi kita mengetahui hakikat sebenar daripada menipu diri sendiri dengan realiti yang palsu.

Bukan semua kes positif tanpa gejala memerlukan kemudahan hospital/perubatan. Daripada menghantar semua pesakit positif tanpa gejala ke pusat-pusat kuarantin yang tidak mempunyai kemudahan tandas dan keperluan yang sempurna dan mendedahkan mereka kepada penyakit lain, mereka yang mempunyai ruang peribadi yang mencukupi tanpa menjangkiti individu lain boleh dikuarantin di rumah. Kita perlukan SOP yang betul untuk tujuan ini.

Tiada kemungkinan ekonomi dan mata pencarian akan pulih sekiranya kita tidak menangani Covid-19 secara tuntas. Dikotomi antara nyawa dan mata pencarian adalah palsu.

Jika kerajaan perlu menanggung kos demi menambah kapasiti saringan, gajikan “penjejak kontak rapat” sementara dalam bilangan yang ramai, lantik lebih ramai pengamal perubatan untuk melakukan pemberian vaksin dan sebagainya.

Berbelanjalah seperti tiada hari esok, asalkan perbelanjaan tersebut dapat dipertanggungjawabkan tanpa sebarang korupsi. Jika wang dapat menghentikan penularan Covid-19, maka belanjakanlah; jangan berjimat!

Adalah tidak waras sekiranya kita melakukan perkara yang sama berulang kali, namun mengharapkan hasil yang berbeza-beza. Dalam hal Covid-10, Malaysia perlu bertindak secara berbeza, dengan segera. – 11 Januari, 2021.

* Liew Chin Tong ialah pengarah pendidikan politik kebangsaan DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen