PKS, peniaga bimbang PKP dilaksana semula


Angie Tan

Ramai peniaga masih belum pulih akibat PKP yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu apabila semua perniagaan dilarang beroperasi kecuali sektor perkhidmatan utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.

KHABAR angin mengatakan kerajaan bakal melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu ini bagi mengekang penularan Covid-19 menimbulkan rasa bimbang di kalangan komuniti perniagaan.

Lebih enam bulan selepas PKP dilonggarkan, ramai peniaga masih belum pulih akibat PKP yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu apabila semua perniagaan dilarang beroperasi kecuali sektor perkhidmatan utama.

Walaupun orang ramai memberi kerjasama dan jangkitan virus dapat dikawal, tempoh PKP yang kemudian ditamatkan pada bulan Jun adalah mimpi buruk bagi banyak perniagaan yang merosot teruk.

Pemilik perniagaan kini mendesak kerajaan berfikir dua kali untuk melaksanakan semula PKP. Jika tidak, ramai rakyat Malaysia akan menderita dengan teruk kerana sumber pendapatan akan terjejas teruk.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang Hua Keong memberitahu The Malaysian Insight bahawa jika PKP 2.0 dilaksanakan, banyak PKS akan menghentikan perniagaan mereka selama tiga hingga enam bulan.

“Mereka ragu-ragu dan tidak tahu langkah lanjut kerajaan, dan mereka tidak mampu membayar gaji pekerja mereka lagi.

“Sebilangan besar syarikat akan terjejas kecuali bagi mereka yang berada di sektor penting,” katanya.

Persatuan itu turut tidak bersetuju jika PKP dilaksanakan semula.

“PKP itu hanyalah penyelesaian jangka pendek dan tidak dapat menghilangkan virus.”

Beliau berkata bahawa kerajaan kehilangan RM2.4 bilion sehari semasa PKP dilaksanakan tahun lalu dan tidak dapat menanggung kerugian serupa lagi.

Oleh itu, persatuan mengemukakan beberapa cadangan kepada pemerintah agar rakyat dapat meneruskan hidup walaupun wabak tersebut masih wujud.

“Tidak perlu 33 juta orang di negara ini dikuarantin. Kerajaan hanya perlu mengawal pesakit yang disahkan dan segera sekat kontak rapat.

“Kita boleh gunakan aplikasi untuk memantau individu yang dikuarantin, dan jika mereka melanggarnya, mereka akan dikenakan denda RM5,000 atau RM10,000. Sekiranya anda menyebabkan seseorang dijangkiti, maka anda perlu dipenjara.

“Ini adalah perkara yang paling mudah. Jika tidak, siapa yang bertanggungjawab untuk meletakkan makanan di atas meja rakyat Malaysia?”

Pengerusi Persatuan Penjaja Kuala Lumpur, Ang Say Tee turut bersetuju dengan Kang.

Para penjaja baru-baru ini telah memulakan perniagaan mereka dan PKP sekali lagi mungkin dikenakan akan merosakkan perniagaan mereka, katanya.

Persatuan itu berharap agar kerajaan memperketat prosedur operasi standard (SOP), seperti melarang perjalanan rentas negeri namun ia tidak boleh menjejaskan perniagaan penjaja.

“Sejak desas-desus kemungkinan pelaksanaan PKP semula, banyak penjaja meminta bantuan saya.

“Mereka bimbang pendapatan mereka merosot terutama menjelang Tahun Baru Cina.”

Beliau berharap kerajaan akan mengambil langkah-langkah terbaik termasuk melindungi ekonomi negara.

“Virus ini telah memberi kesan serius kepada ekonomi. Sekiranya ada lockdown semula, dapatkah negara kita benar-benar bertahan? Penduduk yang menganggur akan meningkat lagi dan masyarakat akan mengeluh.”

Pada 8 Januari, Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan SOP yang lebih ketat memandangkan jumlah kes Covid-19 yang meningkat secara mendadak dan berlanjutan catatan kes sebanyak empat digit sejak akhir November 2020.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diharapkan dapat membuat pengumuman mengenai langkah-langkah baharu kerajaan untuk mengurangkan kes hari ini.

Tahun lalu, PKP dilaksanakan pada 18 Mac dan dilanjutkan empat kali hingga 3 Mei. Ia diikuti PKP bersyarat dari 4 Mei hingga 9 Jun.

Kemudian, beralih kepada PKP Pemulihan yang dilaksanakan mulai 10 Jun untuk membuka sektor ekonomi. – 11 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen