Harakah runding lunas hutang lebih RM2 juta minggu depan


Ikhwan Zulkaflee

Hutang lidah rasmi PAS, Harakah sebanyak RM2.2 juta dengan pencetaknya itu diakui dan disahkan sendiri ketua pegawai eksekutifnya Zainal Abidin Kidam kepada The Malaysian Insight. Gambar menunjukkan akhbar itu yang terpampang di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Disember, 2017.

PENGURUSAN akhbar Harakah, lidah rasmi PAS, mengaku menanggung hutang lebih RM2 juta kepada pencetaknya tetapi kesal isu perniagaan itu dipolitikkan sehingga tular di media sosial, kata ketua pegawai eksekutifnya, Zainal Abidin Kidam.

“Memang betul hutang terkumpul Harakah kepada penerbit yang dimaksudkan ialah RM2.2 juta,” kata Zainal kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp. 

Menurut Zainal, isu hutang tertunggak hutang percetakan akhbar itu sedang cuba diselesaikan dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan minggu ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut tentang pertemuan tersebut.

Sebuah blog minggu lalu mendakwa PAS yang juga pemilik Harakah telah berhutang dengan syarikat penerbitan lidah rasminya itu sebanyak RM2.4 juta. 

“Apa geng ustaz buat, hutang Harakah sudah cecah RM2 juta?” bunyi tajuk tulisan di blog itu, yang turut mendakwa jualan lidah rasmi PAS itu kini susut kepada lebih kurang 20,000 naskhah edaran.

“Setelah ‘dipaksa’ cawangan dan Adun2 (sic) PAS membeli Harakah jualan masih terus merudum,” kata blog itu.

Menurut Zainal, pihaknya sudah beberapa kali mengemukakan cadangan mencairkan hartanah beberapa aset yang dipunyai oleh Harakah untuk melangsaikan hutang berkenaan.

“Tuan punya syarikat (penerbit) telah bersetuju untuk berbincang selanjutnya minggu hadapan,” katanya lagi. 

Zainal bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut tentang aset yang beliau maksudkan kerana ia maklumat sulit syarikat. 

“Kami tidak faham kenapa masalah perniagaan yang boleh diselesaikan perlu ditularkan.

“Jangan jadikan isu perniagaan biasa di politikkan. Ini pada saya tindakan yang cukup tidak profesional dan beretika,” tambah Zainal.

The Malaysian Insight turut menghubungi pihak pencetak Harakah, Angkatan Edaran Entreprise Sdn Bhd namun jurucakapnya enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menjejaskan rundingan pembayaran penuh hutang berkenaan.

Lidah rasmi PAS tersebut menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada Mac lalu.

Akhbar itu mula diterbitkan pada 1987 dengan kekerapan seminggu sekali, sebelum terbit dua kali seminggu tiga tahun kemudian. Ia pernah mencatatkan rekod edaran tertinggi sehingga 400,000 naskhah terjual ketika demam pilihan raya umum 1999.

Portalnya pula yang kini boleh dilayari di harakahdaily.net menerima kunjungan pelawat sekitar 70,000 pageview sehari dan boleh mencecah 100,000 pageview sehari bergantung kepada kejadian semasa.

Mei lalu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menggesa ahlinya untuk menjayakan kempen 3B Harakah iaitu “membeli, membaca dan memberi” untuk meningkatkan semula penjualan akhbar tersebut. – 26 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • rasanya team lebai pon x beli apa harakah ni

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan