Hala tuju politik Malaysia selepas ini


TINDAKAN Umno memecat Annuar Musa sebagai Setiausaha Agong Barisan Nasional, walaupun dibantah kuat oleh pihak MCA dan MIC menunjukkan kecenderungan Umno untuk menjadi parti yang paling kuat antara komponen parti Barisan Nasional.

Ini bermakna yang lain-lain hanya parti penumpang yang tidak setanding kekuatannya berbanding dengan Umno. Ini akan terus menguburkan parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC, dan sebagainya dalam pilihan raya akan datang.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula akan menjadi seperti rusa dipijak dua gajah yang cuba memerangi wilayah masing-masing.

Selepas bekerjasama dengan Perikatan Nasional, Umno nampaknya lebih bergantung kepada kerjasamanya dengan PAS buat ketika ini oleh kerana muafakat ini akan mengaih bilangan undi terbesar di kalangan orang Melayu Islam, terutamanya di kawasan kampung.

Tetapi, untuk berapa lama? Oleh kerana kedua-dua gajah ini sama-sama kuat, dan berada dalam satu wilayah yang sama, nescaya mereka akan cuba menguasai seberapa banyak kerusi yang boleh di pilihan raya akan datang

Kekurangan fokus kedua-dua parti dalam memenangi orang bandar juga menjadi satu-satu sebabnya Pakatan Harapan mungkin akan terus memegang kerajaan Selangor dan Pulau Pinang untuk satu penggal lagi.

Susah berkongsi kerusi

Bagaimana pula dengan Kedah, Perlis dan Terengganu; adakah kerusi-kerusi parlimen sanggup diserahkan kepada PAS? Di peringkat akar umbi, ini bermakna penyokong diwajibkan menyokong parti yang berkemungkinan satu hari nanti menjadi musuh Umno pula.

Perbalahan politik adalah satu-satunya realiti yang boleh berlaku bila-bila masa, terutama sekali kerana Umno pada ketika ini masih lemah berbanding dengan zaman Barisan Nasional sebelum 2008.  

Bagaimana pula sekiranya Melayu Islam di Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pula condong ke arah Pakatan Harapan, dapatkah Umno masih menjadi parti utama dengan kerusi terbanyak selepas tiga buah negeri utara diberikan kepada PAS?

Kerana pencaturan yang berlaku, kerajaan Pakatan Harapan di negeri-negeri barat Semenanjung ini tidak diberi mandat untuk tempoh sepenuhnya untuk membuktikan kebolehan mereka.

Dalam politik, senyuman yang kelihatan manis mencerminkan kemungkinan adanya udang di sebalik batu, dan saya percaya yang terlibat dalam perbincangan perkongsian kerusi adalah satu-satunya perimbangan politik yang paling sukar sekali kerana tidak adanya formula yang begitu mudah.
Perkongsian kerusi mengambil kira siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri atau berkuasa selepas PRU15, dan sekiranya berlaku penceraian di antara kedua-dua gajah, siapa pula yang masih dapat mempertahankan kedudukannya.

Sekiranya ada yang menang, mesti adalah mangsanya juga. Kedua-dua parti ada reputasinya tersendiri di kalangan Melayu Islam dan bukan Melayu. Apa yang membawa Umno dan PAS bersama bukanlah kerana seperti apa yang dilaung-laungkan, kerana pemimpin-pemimpin utama PKR, Amanah dan Bersatu juga Melayu Islam, tetapi dijadikan musuh politik.

Realiti

Apabila perkataan muafakat itu digunakan dalam arena politik, ia mempunyai agenda tertentu. Parti Bersatu yang sepatutnya bersatu bersama dengan PAS dan Umno juga boleh dipinggirkan.

Dalam sesuatu perkahwinan, penceraian boleh berlaku; dalam perkongsian perniagaan juga ada pertikaian antara rakan kongsi. Ini realitinya. Jadi tidak munasabahlah sekiranya parti-parti politik tidak akan bercerai selama-lamanya.

Tugasan perunding-perunding yang terlibat dalam pembahagian kerusi parlimen adalah yang paling sukar sekali kerana ia terpaksa membuat perimbangan yang ketara.

Yang ingin memberi kerjasama kepada parti komponen pula mungkin terpaksa dipecat mahupun diketepikan dalam pilihan raya akan datang. Ini juga jelas kelihatan sudahpun berlaku dalam satu parti politik tertentu.

Tindakan mengabaikan parti-parti yang kecil dan tidak bermaya lagi terus akan menyebabkan parti-parti ini terus dikuburkan, ataupun diberi kerusi yang sukar dimenangi mereka.

Dengan pilihan raya umum ke15 semakin dekat, peringkat inilah yang paling sekali menarik untuk diteliti. Bagaimanakah kerusi-kerusi pilihan raya akan dibahagi-bahagikan di antara Umno, PAS dan lain-lain parti sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah atau di Sarawak?

Rasional mengekalkan seberapa banyak kerusi yang boleh dipegang mudah difahami kerana apabila berlaku perpecahan di antara Umno dan Pas, sekiranya berlaku, tiada parti yang sanggup hilang kuasa.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin telah mengumumkan baru-baru ini bahawa Umno akan bertanding di 31 kerusi di Sabah pada pilihan raya akan datang.

Walaupun orang Sabah sekian lama ini menentang kemasukan parti-parti dari Semenanjung, namum sekarang Umno Sabah akan bertanding di sebahagian besar (43%) dari kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, walaupun dalam piliha nraya negeri baru-baru ini, Umno hanya memenangi 19% kerusi DUN.

Ini bermakna 42 kerusi lain akan diagihkan kepada parti-parti seperti PBS, PBRS, UPKO, Star dan PBBM. Oleh kerana kerjasama yang sedia ada antara parti-parti ini bersama Umno, kemenangan Umno akan mencerminkan kekuatan parti tersebut di Sabah.

Di peringkat parlimen pula, 55 kerusi parlimen akan ditandingi oleh Umno sementara 18 kerusi PAS akan ditandingi oleh PAS. Ini munasabah, tetapi baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengumumkan Umno akan bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi parlimen.

Tujuannya sama: Umno ingin teruskan usahanya sementara memastikan PAS tidak menguatkan kedudukannya di semenanjung. Oleh kerana PAS tidak mungkin akan menang di Sabah dan Sarawak, yang merupakan 25% kerusi parlimen yang diwakili kedua-dua negeri ini, maka tinggal hanya 52 kerusi yang akan dikongsikan di antara PAS, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBBM dan lain-lain.

Dalam keadaan sebegini, tidak kemungkinan parti PBBM akan diberi kerusi. Segelintir ahli politik nescaya akan berpaling tadah kepada gajah yang paling kuat, tetapi adakah ini boleh diterima oleh rakyat jelata?

Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad yang kata Pakatan Harapan memang dalam PRU14 kerana sokongan orang Melayu Islam terhadap beliau sudah pun terlupa bahawa baru bulan Ogos lalu, partinya kalah dalam pilihan raya kecil di Slim.

Rakyat yang menentukan

Kemungkinan besar Muhyiddin akan dipaksa membubarkan parlimen dalam masa yang tersingkat, tetapi tuju hala politik sebenarnya terletak di tangan rakyat yang mengikuti perkembangan politik dan bukannya segelintir ahli politik.

Oleh kerana itu, politik yang berunsurkan agama dan kaum tidak akan memberi manfaat dalam jangkamasa panjang kepada sebuah negara yang berbilang kaum di mana ekonominya sudah ketinggalan berbanding dengan negara-negara Asean seperti Vietnam.

Pergaduhan antara kaum berbilang bangsa mahupun satu bangsa sesama sendiri seperti MCA dan DAP oleh kerana politik tidak akan membawa sebarang manfaat.

Biar rebutan kuasa berlaku saja dalam arena politik, yang pentingnya kita masih lagi bersama-sama membangunkan negara dan menegakkan keadilan dan kestabilan ekonomi sebagai rakyat Malaysia, yang pentingnya kita masih dapat bersaing dengan negara-negara asing yang semakin maju dalam perkembangan ekonomi mereka. – 10 Januari, 2021.


* Stephen Ng, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen