Kluster mahkamah punca penyatuan ummah boleh gagal


GERAKAN untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional oleh beberapa pemimpin Umno “kluster mahkamah” ini mula dilihat jelas setelah Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah atas tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta SRC International yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dari situ reaksi awal Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta kenyataan kurang ajar ahli MKT Umno Puad Zarkashi di media terbuka seakan-akan mahu menyalahkan Perdana Menteri atas apa yang terjadi.

Umum tahu Bersatu sendiri tidak akan wujud jika Muhyiddin Yassin tidak dipecat dari Umno.

Seperti yang diterangkan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa kepada Mahkamah Tinggi pada November 2019, pemecatan Muhyiddin jelas kerana beliau lantang mempersoalkan keterlibatan Najib dalam korupsi bisnes 1MDB yang menggunakan wang negara.

Kini satu dunia tahu bahawa mahkamah negara ini yang diketahui bebas dari campurtangan politik telah menjatuhkam hukuman terhadap Najib. 

Maka apa yang diperjuangkan oleh Muhyiddin sebelum beliau dipecat dari Umno dahulu adalah benar dan sahih.

Oleh itu, rakyat sedar bahawa kepimpinan kerajaan PN tidak sesekali berkompromi dengan kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang sedang dibicarakan walaupun melibatkan watak-watak tertentu dari Umno dan DAP (Lim Guan Eng).

Ketegasan sebeginilah yang mendatangkan rasa tidak puas hati sekelompok manusia dalam Umno yang selama ini mungkin kebal dari tindakan undang-undang. 

Ia dizahirkan dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam satu sesi temu bual baru-baru ini yang mengakui bahawa  kes-kes mahkamah terhadap mereka antara punca utama penolakan mereka terhadap PN.

Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Ahmad Jazlan pula sebelum mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN, mengakui du media bahawa Umno dibawa ke jalan mati. 

Soalnya siapa yang pandu Umno ke jalan mati jika bukan beberapa pemimpin mereka yang korup dan khianat amanah rakyat ketika berkuasa dulu?

Jelas kini kluster mahkamah serta para penyokong mereka dalam Umno tidak menghiraukan nasihat Yang di-Pertuan Agong  hujung tahun lepas agar kurangkan berpolitik dan fokus bantu rakyat serta negara.

Malah kelompok kluster mahkamah Umno tersebut serta “warlords” politik tua yang tak sudah-sudah mahu menjatuhkan kerajaan PN, tidak pernah menghiraukan nasihat rakan mereka PAS dalam Muafakat Nasional apatah lagi suara rakyat marhaen luar sana yang sudah menyampah dengan drama gila kuasa dari ahli-ahli politik yang terdesak itu. 

* Dr. Muhammad Faiz Na’aman, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen