Covid-19 dan keadaan sistem keadilan jenayah yang makin meruncing 


JANUARI 2021 telah mencipta suatu rekod apabila buat pertama kalinya Malaysia mencatat kes harian Covid-19 yang mencecah angka 3,000. Malah, saya begitu terkesima dengan kenyataan Dr Noor Hisham Abdullah apabila beliau menyebut bahawa kes harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 8,000 pada bulan Mac ini.

Umumnya jika merujuk kepada rekod, penjara merupakan salah satu kawasan kritikal berlakunya kes Covid-19. Malah, setakat ini terdapat juga beberapa kawasan penjara yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Penjara Kluang, Pusat Koreksional Johor Bahru, Lokap Kota Tinggi, Institut Pemulihan Dadah Jelebu dan beberapa lagi penjara yang saya lihat pernah mengalami nasib yang sama sebelum ini.

Jika diamati dengan teliti, perkembangan kes Covid-19 di kawasan penjara ini bukan sahaja memberi kesan secara kesihatan kepada semua pegawai penjara dan juga pegawai kesihatan yang bertungkus-lumus berjuang dalam mengawal selia penularan pandemik dan virus jahat ini. Tetapi ia juga memberi impak yang sangat besar kepada seluruh sistem keadilan jenayah.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat pertama kalinya dikuatkuasakan pada bulan Mac 2020, banyak kes-kes jenayah yang terpaksa ditangguhkan akibat keterbatasan pergerakan dan situasi yang menyebabkan mahkamah ditutup.

Selanjutnya, apabila keadaan semakin terkawal, mahkamah telah beroperasi semula dengan syarat yang ketat demi menangani wabak Covid-19 tanpa mengorbankan hak tertuduh-tertuduh menikmati perbicaraan yang adil. Maka, gerak-kerja di mahkamah seperti pengurusan kes dan perbicaraan telah dijalankan seperti biasa.

Namun begitu, baru-baru ini, selari dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 terdapat banyak kes melibatkan tertuduh-tertuduh yang ditahan reman (tertuduh yang tidak dijamin) telah tidak dibawa ke mahkamah. Saya dimaklumkan bahawa perkara ini berlaku kerana terdapat tertuduh-tertuduh yang telah dipindahkan ke beberapa penjara lain untuk kuarantin.

Misalnya, terdapat seorang tertuduh untuk suatu kes yang saya kendalikan sepatutnya ditahan reman di Sungai Buloh, Selangor. Walaupun mahkamah telah mengeluarkan suatu Perintah Kehadiran (Order to Produce) ke penjara untuk tertuduh tersebut dibawa ke mahkamah, tetapi tertuduh tersebut masih tidak muncul-muncul sehingga pihak saya, kakitangan mahkamah dan Timbalan Pendakwaraya sendiri perlu berusaha keras untuk mengesan kedudukan terkini tertuduh.

Tidak kurang juga terdapat cerita sayu yang melibatkan seorang tertuduh yang telah ditahan reman di Penjara Sungai Buloh selama lebih kurang satu tahun setengah. Dalam kes tersebut, setelah meneliti semula keterangan yang ada, pihak pendakwaan telah bersetuju untuk menggugurkan pertuduhan ke atas tertuduh tersebut. Namun begitu, sehingga ke hari ini tertuduh tersebut masih belum boleh dilepaskan kerana tidak dapat dibawa ke mahkamah.

Contoh yang saya sebutkan di atas hanya cebisan kecil isu-isu yang kini menghantui sistem keadilan jenayah. Malah, terdapat cerita-cerita yang lebih menyayat hati lantas menunjukkan betapa virus Covid-19 ini telah merubah keseluruhan hidup kita. Itu belum lagi isu tertuduh yang telah dibawa ke mahkamah untuk sebutan kes, kemudian keesokannya baru dapat tahu rupa-rupanya tertuduh tersebut positif Covid-19!

Kerajaan seharusnya memberi perhatian yang serius dalam mencari suatu titik penyelesaian tentang isu ini kerana jika ia tidak diselesaikan dengan segera,  ia bakal mencipta suatu konflik ; kepentingan awam melawan kepentingan dan hak tertuduh.

Pegawai-pegawai yang terlibat seperti pegawai penjara, polis, eskot tertuduh, hakim, timbalan pendakwaraya, kakitangan mahkamah, malah peguam sendiri terdedah dengan malapetaka Covid-19 ini.

Disamping ingin memastikan keselamatan diri dan masyarakat sekeliling selari dengan falsafah kita jaga kita, hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil dalam suatu masa yang munasabah juga tidak boleh diketepikan. Jika ia diabaikan, konflik yang besar akan timbul apabila ia bukan sahaja tidak bertepatan dengan undang-undang tetapi juga bercanggah dengan prinsip hak kemanusiaan.

Justeru, suatu garis panduan yang benar-benar jelas dan praktikal perlu dikeluarkan bagi menangani permasalahan ini. Garis panduan tersebut perlu bersifat seragam untuk menyelaraskan tatacara pergerakan di mahkamah kelak. Pada hemat saya, garis panduan yang sedia ada sudah tidak bersesuaian dengan situasi yang semakin meruncing.

Akhir sekali, saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian segera dalam isu ini supaya pihak-pihak yang terlibat dapat menjalankan tugas berat untuk mendaulatkan undang-undang dapat melaksanakan amanah tersebut dengan seadilnya meskipun negara sedang berperang dengan Covid-19. Mereka ini bukan sahaja hero-hero tak didendang (the unsung heroes), tetapi mereka adalah hero Malaysia! – 10 Januari, 2021.


 

* Khairul Naim Rafidi merupakan Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Tetuan Khairul Naim Rafidi dan menetap di Port Klang, Selangor. Penulis boleh dihubungi melalui laman facebook Khairul Naim Rafidi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen