Rakyat akan bangkit jadi Hang Jebat 


Zainal Rashid Ahmad

Pemimpin sama ada dari kerajaan atau pembangkang yang memulakan angkara pastu akan dihukum oleh rakyat melalui pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2021.

KALAU pemimpin terus “menganiaya” rakyat, karmanya mudah. Pasti akan berulang Sejarah Melayu. Rakyat akan bangkit dengan amuk dan amarah; akan muncul seorang, sepuluh malah jutaan Hang Jebat.

Tragedinya mudah; pemimpin yang “zalim” akan terhukum.

Percayalah: “Anda boleh menipu rakyat sekali tetapi tidak sepuluh kali”.

Tidak kira anda siapa; kerajaan atau pembangkang. Di kala hidup rakyat sudah cukup menderita – “jangan aniaya atau khianati mereka!”

Hang Jebat tidak muncul dengan keris dan amuknya di pasar terbuka. Sikap Hang Jebat akan muncul dan menghukum pemimpin apabila tiba masanya (pilihan raya).

Pastinya, sesiapa saja pemula angkara, tanpa mengira sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang – siapa yang zalim akan menerima balasan rakyat.

Apa yang saya tulis di atas adalah kapsyen panjang sekiranya foto filem Hang Jebat dijadikan latar artikel ini.

Kisah amuk undi pilihan raya ini satu simbolik yang tragik dari naratif asal filem “Hang Jebat” (1961) arahan Hussein Haniff. 

Adegan ketika Hang Jebat memegang emas dan mutiara milik istana dan berkata: “Aku akan kembalikan kepada rakyat.”

Apabila kes Covid-19 melanda negara pada puncak jangkitan sekitar 3 ribu kes sehari dan banjir pula yang melanda Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak memuncak, semua parti politik kelihatan tidak memperdulikan rakyat.

Januari 2021 dipenuhi nuansa politik “pelahap kuasa”.

Parti dalam kerajaan dan pembangkang nampaknya lebih kuat “menyalak” mahukan pilihan raya. Atau riuh dengan strategi penjajaran politik baru.

Pemimpin politik benar-benar berada pada kelas “tahi”. Istilah netizen pula menyebutnya “politaik”.

Jatuhkan PN kerana kes mahkamah

Apabila Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menyebut parti itu mahu meninggalkan kerajaan kerana kes-kes mahkamah yang membabitkan “orang Umno” tidak digugurkan, ia menjadi kenyataan paling “bodoh”.

Itulah Ahmad yang paling “bodoh” dalam sejarah Umno.

Ia memberi gambaran, kerajaan akan runtuh ketika kemuncak krisis kesihatan, ekonomi dan bencana alam semata-mata kerana “puak terdakwa” dalam Umno tidak mendapat manfaat.

Ahli Parlimen Rembau, Khairi Jamaluddin menyindir sinis kenyataan Ahmad sebagai “pemikiran pisang goreng”.

Sikap Ahmad menampakkan “akal katik” seorang setiausaha agung yang paling dangkal dalam sejarah Umno.

Ahmad memberi gambaran pertemuan Ketua-ketua Bahagian Umno pada minggu lalu berbau ugutan politik.

Dalam erti kata lain – “Umno mahu perdana menteri membebaskan kluster mahkamah parti itu secara campur tangan politik”.

Ahmad ambil jalan mudah. Semua pemimpin Umno yang terkait kes mahkamah mesti dibebaskan. Itu syarat sekiranya kerajaan sekarang mahu kekal bertahan.

Rakyat sekali lagi melihat Umno sebagai parti oportunis. Malah, mengesyaki Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan “playmaker” di belakang tabir Najib Razak terlibat.

Kluster mahkamah dianggap dalang yang memainkan peranan menggunakan sokongan Umno untuk memusnahkan PN.

Kenyataan Ahmad lebih memperlihatkan isu sebenar: Mengapa Umno mahu menjatuhkan PN.

Logiknya ada: kerana sejak menyokong Mahyuddin Yassin sebagai PM, semua pertuduhan terhadap Zahid, Najib, Tengku Adnan Mansor, Shahrir Samad, Abdul Azeez Rahim dan Maslan sendiri tidak digugurkan.

Kata-kata Maslan meletakkan Umno sebagai parti berperangai buruk. Malah, kekal buruk setelah rakyat menolak parti itu pada PRU 14 pada Mei 2018.

Ahmad yang bongkak

Kenyataan lain yang menyakitkan hati rakyat ialah tuduhan Ahmad bahawa hanya golongan berpendidikan tinggi dapat memahami keperluan melakukan pilihan raya secepat mungkin.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, dengan bongkak menyifatkan pandangan seorang pemarut kelapa yang diwawancara berita TV, sebagai “tidak faham” kepentingan PRU segera.

“Saya tengok Astro Awani atau TV3, tidak pasti, mereka temu bual pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana Covid-19.

“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara melakukannya termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Singapura,” kata Ahmad.

Untuk rekod Singapura dan AS mengadakan pilihan raya kerana tamat penggal pemerintahan. Sedangkan penggal di negara kita hanya akan berakhir pada Mei 2023.

Begitulah Ahmad dan rakan-rakan kluster mahkamah. Kumpulan pendesak yang memperlekehkan nasib rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

Kalau Umno menjadi punca PRU15 diadakan ketika Covid-19 sedang memuncak, rakyat akan bertindak menghukum parti itu.

Percayalah, Umno akan kalah lebih teruk pada pilihan raya akan datang kerana rakyat akan bertindak menjadi Hang Jebat. – 10 Januari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen