Perikatan jangan minta kerusi Umno, kata Nazri


Mohd Farhan Darwis

Nazri Aziz mengulas mengenai isu politik semasa terutamanya hubungan Umno dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Januari, 2021.

UMNO hanya akan berunding soal pembahagian kerusi pilihan raya bersama PAS melalui Muafakat Nasional (MN), kata ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

Umno juga boleh berunding dengan Perikatan Nasional (PN), tambahnya, namun Nazri mengingatkan Umno tidak akan menyerahkan kerusi yang telah dirundinginya dengan PAS.

“Kalau PAS dalam PN tiada masalah. PAS dalam PN serupa Umno dalam BN. Akhirnya, kalau dah habis berunding dengan PAS dalam MN, katalah kita juga nak buka ruang rundingan dengan PN… mungkin PAS kata nak berunding dengan PN, jadi kalau nak runding dengan PN tiada masalah. 

“Kalau sekiranya PN nak kerusi yang telah dipersetujui dalam rundingan kita dengan PAS kita akan bertanding, itu tak boleh,” kata Nazri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di ibu negara, hari ini.

Menurut Nazri, sekiranya terdapat pertindihan, PN boleh meminta daripada PAS, yang juga komponen mereka.

“Kalau PAS nak bagi kerusi itu hak dia. Kalau runding dengan PN saya nak bagi tahu tiada kompromi, kerusi kita (Umno) tetap kerusi kita,” katanya.

Bekas menteri kabinet Umno menegaskan sekiranya Umno mengalah ia akan menghantar mesej yang salah kepada pengundi.

Katanya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan Umno berkompromi dengan pengkhianatan wakil rakyat Umno yang menyertai Bersatu.

“Mereka curi 16 kerusi kita, terang-terang mencuri, takkan nak bagi percuma, kalau kita bagi, akhirnya mesej kita kepada orang ramai ialah kalau jadi pengkhianat berbaloi.

“Kerana mereka akan mendapat keuntungan, boleh ke buat macam itu? itu kita beri mesej yang salah kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran sekarang menunjukkan pengkhianatan akan membolehkan mereka menerima habuan.

“Yang dapat keuntungan dalam PN sekarang orang yang khianat, dia khianat parti, dapat jawatan, dibayar habuan. 

“Bila tiba pilihan raya kita bagi kerusi kepada mereka, maknanya kalau ini kita setuju, kita buat kenyataan kalau jadi pengkhianat untung, dapat semua. Bagi saya memang tak boleh,” tegasnya.

Sedangkan rundingan dengan PAS katanya dibuat atas prinsip perpaduan Melayu dan Islam.

“Kita MN dengan PAS, itu bagi saya perpaduan Islam, bangsa, memang kita tak boleh lari daripada kita kena kerjasama dengan PAS, tapi dengan PAS sahaja.

“Kerusi kita dah setuju runding dengan PAS dalam MN itu kita punya, kalau rundingan dengan PN suruh lepas kerusi tidak.

“Jangan kata kita tak mahu datang berunding. Nak runding apa kalau nak kerusi dia curi daripada kita. Mana boleh nak runding kerusi yang mereka curi daripada kita, kalau PAS nak itu hak mereka,” tambahnya.

Nazri juga melahirkan kekecewaan terhadap sesetengah pimpinan Umno yang bukan sahaja tidak sependapat dengannya, tetapi turut mengkritik pendiriannya.

Beliau berkata, pendirian itu dinyatakannya semata-mata demi kelangsungan Umno.

“Orang yang setia macam saya, saya keras tak bagi ruang langsung, kerana kita pertahankan pendirian tak mahu kompromi demi mempertahankan parti kita daripada jadi jahat.

“Kawan kita dalam jemaah menteri kata kita macam-macam semata-mata hanya kita nak pertahankan kerusi kita,” kata Nazri, lagi.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada 18 Disember lalu berkata Umno tidak lagi akan berunding dengan PAS untuk pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana perbincangan itu bakal dibuat antara BN dan PN.

Katanya, ia berikutan PAS yang membentuk MN bersama Umno sejak September 2019, sudah menyertai PN.

“Kerjasama Umno dan BN dengan PN untuk PRU15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi. 

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan Umno dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkannya selepas ketua parti dalam kerajaan PN sepakat menubuhkan Majlis Presiden PN. – 9 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen