Hutan, sungai sumber alam menjangkaui kawasan politik


KEBELAKANGAN ini ramai ahli politik muncul kembali untuk bersuara dalam isu empangan mega Kaiduan. Isu ini sekali lagi dipolitikkan untuk kepentingan ahli-ahli politik. 

Ada juga yang ambil kesempatan untuk bercakap bagi pihak dan menghina kami yang benar-benar terkesan daripada projek ini.

Taskforce Against Kaiduan Dam (Takad) ingin menjelaskan yang perjuangan kami ini menjangkaui politik dan tidak berpihak kepada mana-mana parti. 

Kami sudah lebih 13 tahun berjuang dan sudah biasa dengan janji-janji kosong dan pengkhianatan orang politik. 

Namun, Takad akan sentiasa sokong mana-mana pihak yang menentang empangan mega dan sokong alternatif mesra alam. Ini satu perjuangan yang bersifat jangka panjang.

Takad sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak bahawa kami menentang pembinaan empangan mega dan sarankan alternatif mesra alam dan tanah adat.

Biarpun empangan itu dibina di Papar atau di Penampang, kesannya sama kepada kami yang hidup di sekitar sungai Papar.

Sungai bukan objek politik yang ada kawasan mengundi dan daerahnya sendiri. Ini kerana sungai itu bersifat mengalir secara berterusan dan berkait menjangkaui daerah. 

Apa-apa gangguan di mana-mana tempat akan mengganggu pengaliran sungai itu secara keseluruhan.

Posisi kami adalah berasaskan hak asasi dan kepentingan alam sekitar dan bukan politik ataupun bersifat kawasan politik dan daerah.

Takad sekali lagi mengingatkan dan menyeru semua pihak untuk tidak politikkan musibah yang menimpa komuniti Ulu Papar dan kawasan sekitar tapi untuk membantu. 

Kita perlu melihat isu ini dengan lebih luas dan matang. Ini mengenai empangan mega yang bakal binasakan satu sistem sungai dan alam sekitar serta kehidupan dan tanah adat orang asal Sabah.

Masa untuk semua warga Sabah tidak kira dari parti manapun untuk sarankan cara lestari dan mesra alam untuk selesaikan masalah air, tidak kira di daerah mana atau orang apa yang terkesan. 

Ini persoalan selamatkan sungai dan alam sekitar dan tanah adat dan bukan politik. Sebab kita semua adalah orang asal Sabah, kehidupan kami berasaskan alam sekitar dan wilayah adat yang mejangkaui dearah dan kawasan mengundi. – 9 Januari, 2021.

* Taskforce Against Kaiduan Dam (Takad) dan seluruh komuniti Ulu Papar serta kawasan sekitar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen